am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan 12,789 liter diesel tanpa kebenaran di Taman Mount Austin di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Kok Chek, 45, Hendrik Dwi Setyawan, 38, dan Maulana Bachrudin, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 12,789 liter di dalam tangki tanpa prime mover dan sebanyak 89 liter di dalam tangki IBC yang tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Mutiara Emas 7/4, Taman Mount Austin di sini, jam 4.09 pagi pada 23 April lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara dalam tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Nur Sulehan Abd Rahman manakala Kok Chek diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman.
Terdahulu, Nur Sulehan menawarkan jaminan RM100,000 buat Kok Chek manakala tiada jaminan buat kedua-dua tertuduh warga asing yang tidak diwakili peguam itu memandangkan risiko melarikan diri kerana tiada sebarang dokumen diri yang sah.
Bagaimanapun Mohamad Azrulsani memohon agar jaminan anak guamnya itu dikurangkan memandangkan lelaki itu hanya bekerja menguruskan kebun ubi dengan pendapatan RM2,000.
Mahkamah membenarkan Kok Chek diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala dua lagi tertuduh warga asing itu dihantar ke Pusat Koreksional Johor Bahru selepas jaminan tidak dibenarkan.
Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia oleh Jabatan Kimia.
Terdahulu, media melaporkan KPDN menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing disyaki menyalahgunakan kemudahan fleet card bagi mengumpul minyak diesel secara haram.
Turut dirampas lapan keping fleet card yang dipercayai digunakan suspek untuk mengisi minyak diesel secara berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



