Menteri Luar Iran bertemu Putin, salahkan AS punca kegagalan rundingan di Pakistan

Menteri Luar Iran bertemu Putin, salahkan AS punca kegagalan rundingan di Pakistan

MOSCOW: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyifatkan laluan selamat melalui Selat Hormuz sebagai isu global penting dan menyalahkan Amerika Syarikat (AS) atas kegagalan rundingan di Pakistan.

Araghchi  tiba di Saint Petersburg dalam lawatannya ke Moscow hari ini dan dijadualkan bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin.

Lawatan tersebut berlaku ketika usaha diplomatik giat dijalankan bagi meredakan ketegangan serantau.

Araghchi berkata, lawatannya ke Russia akan menjadi peluang penting untuk menilai perkembangan perang dan menyelaraskan pendirian, menurut agensi berita Mehr.

Beliau berkata, persinggahan awalnya di Islamabad adalah perlu kerana Pakistan terlibat sebagai pengantara, di mana rundingan menunjukkan sedikit kemajuan tetapi gagal mencapai matlamat berikutan ‘tuntutan berlebihan’ oleh Washington.

Mengenai lawatannya ke Oman, menteri itu berkata, Iran dan Oman merupakan negara pesisir Selat Hormuz, justeru mereka perlu melindungi kepentingan bersama, sambil menekankan kepentingan meneruskan perbincangan di peringkat pakar mengenai laluan perairan tersebut.

Russia dan Teheran, yang kedua-duanya berdepan sekatan keras dari Barat, mengukuhkan hubungan mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Agensi berita Iran, ISNA, memetik duta Iran ke Russia, Kazem Jalali melaporkan Araghchi akan bertemu Putin untuk berunding dengan pegawai Russia mengenai perkembangan terkini rundingan, gencatan senjata serta situasi semasa.

Pihak pengantara berusaha mengekalkan rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari.

Sehingga kini, masih belum ada pusingan kedua rundingan langsung antara Washington dan Teheran, walaupun gencatan senjata telah bermula lebih dua minggu lalu dalam konflik antara AS-Israel dan Iran.

Scroll to Top