KESUMA himpunkan lebih 50 pempamer, 14 anugerah jadi tarikan Sambutan Hari Pekerja 2026

KESUMA himpunkan lebih 50 pempamer, 14 anugerah jadi tarikan Sambutan Hari Pekerja 2026

Lebih 50 pempamer daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta pemain industri akan mengambil bahagian dalam Sambutan dan Karnival Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 1 hingga 3 Mei ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, penyertaan meluas itu mencerminkan pendekatan bersepadu kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses menyeluruh kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan pekerjaan, kemahiran dan kesejahteraan hidup dalam satu lokasi.

Menurut KESUMA, antara pengisian utama yang ditawarkan termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, klinik pergigian, derma darah, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara, pemeriksaan kesihatan payudara dan kanser prostat, serta pelbagai perkhidmatan daripada agensi Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor perbankan, di samping pameran teknologi industri.

“Sambutan Hari Pekerja 2026 dijangka menghimpunkan lebih daripada 15,000 tenaga kerja daripada pelbagai sektor termasuk kesatuan sekerja, badan berkanun serta sektor awam dan swasta.
“Kemuncak perhimpunan ini akan menampilkan amanat khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta penyampaian Anugerah Hari Pekerja 2026 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan pekerja dalam pembangunan negara.
“Selaras dengan tema ‘Pekerja MADANI Kesuma Bangsa’, sambutan tahun ini mengangkat peranan pekerja sebagai aset paling berharga negara yang mencorakkan kemajuan dan kemakmuran Malaysia.
“Tema ini menekankan pembentukan Pekerja MADANI yang berpegang kepada nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan ihsan, serta bukan sekadar melaksanakan tugas, tetapi turut menampilkan integriti, produktiviti dan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Dalam masa yang sama, ‘Kesuma Bangsa’ melambangkan pekerja sebagai permata negara, penyumbang utama yang menjadi tulang belakang dan pencorak masa depan Malaysia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KESUMA berkata, sebanyak 14 kategori Anugerah Hari Pekerja 2026 akan disampaikan sebagai pengiktirafan kepada sumbangan pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan media dalam pembangunan negara.

“Setiap penerima membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta plak penghargaan, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran sebanyak RM140,000.
“Penganjuran ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan kepada warga pekerja, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan tenaga kerja sebagai tunjang kemajuan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ujarnya.

Sementara itu, KESUMA menjelaskan bahawa Karnival Hari Pekerja 2026 dijangka menarik kehadiran sehingga 30,000 orang pengunjung yang memberi fokus kepada keperluan rakyat merentasi keseluruhan ekosistem kerjaya termasuk permulaan kerjaya, pekerja sedia ada, kemajuan kerjaya melalui peningkatan kemahiran, serta kesejahteraan rakyat melalui akses kepada pelbagai perkhidmatan sokongan.

“Melalui Karnival Kerjaya yang dibawakan khas oleh PERKESO, orang ramai berpeluang mendapatkan akses kepada peluang pekerjaan secara langsung.
“Ia termasuk sesi temuduga bersama majikan, padanan kerja pelbagai sektor serta bimbingan kerjaya bagi membantu mereka memasuki dan berkembang dalam dunia pekerjaan.
“Menerusi platform MYFutureJobs, sebanyak 4,000 kekosongan jawatan ditawarkan dengan julat gaji bermula daripada RM2,500 hingga RM16,000.
“Ia sekali gus membuka ruang kepada pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan masing-masing,” jelas KESUMA.

Scroll to Top