am@hmetro.com.my
Pendang: “Saya nampak zink berterbangan di bilik tengah dan waktu itu keadaan kelam kabut apabila bayi saya yang baru berusia 40 hari dan anak lelaki berusia empat tahun menangis, ” kata Fatin Nadirah Ghazali, 32.
Fatin Nadirah yang masih berpantang melahirkan bayi perempuan yang juga anak keduanya itu tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas sekitar jam 4.50 petang semalam.
Katanya, ketika kejadian berlaku, dia bersama ibunya, Fatimah Yaacob, 68, berada di rumahnya di Kampung Paya Mak Insun, di sini bersama anak lelakinya, Muhammad Amzar Rizqi Muhammad Azizi, 4, dan Nur Ammara Aisy yang berusia 40 hari, manakala suaminya, Muhammad Azizi Abdullah, 33, masih di tempat kerja di Gurun.
“Saya nampak dari tingkap, pusaran angin menuju ke arah rumah sebelum pokok rambutan tumbang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Fatin Nadirah berkata, dalam sekelip mata, pusaran angin itu mengangkat bumbung rumah sebelum berterbangan sebelum jatuh di lantai bilik ibunya serta bahagian belakang.
“Saya membaca doa sambil memeluk erat bayi yang menangis kerana terkejut, manakala ibu pula memeluk anak sulung saya.
“Kami hanya duduk di ruang tamu kerana pintu rumah tidak dapat dibuka disebabkan dihalang pokok tumbang, manakala pintu belakang pula dipenuhi runtuhan bumbung,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) RTP Bukit Mak Insun, Suhardi Hashim berkata, rumahnya antara yang kediaman yang paling teruk terjejas disebabkan hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin.
“Yang nampak hanya langit kerana bumbung di setiap bilik dah diterbangkan angin manakala di ruang tamu pula saya serpihan siling yang tinggal.
“Saya nampak pusaran angin mengangkat bumbung rumah sebelum meranapkan kontena yang dijadikan stor dan ini kejadian ribut paling teruk pernah berlaku di kampung ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, sebanyak 96 rumah di tiga daerah di negeri terjejas akibat ribut dan angin kencang yang melanda petang semalam iaitu di Pendang, Kubang Pasu dan Bandar Baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




