
Seorang lelaki yang mengikat anjing peliharaannya di bawah matahari terik akhirnya didenda sebanyak 1,050 rupee (RM44) oleh mahkamah. Gambar Hiasan
FARIDABAD – Tindakan kejam seorang lelaki yang mengikat anjing peliharaannya di bawah matahari terik akhirnya membawa padah apabila dia didenda sebanyak 1,050 rupee (RM44) oleh mahkamah.
NDTV melaporkan kes tersebut berlaku di Puri Pranayam Society, Sektor 82 di Faridabad, pada 20 Jun 2024.
Menurut polis, laporan dibuat oleh Vrinda Sharma daripada unit People for Animals yang mendakwa lelaki itu, Deepak Sharma telah mengikat anjingnya di balkoni kecil tanpa perlindungan ketika cuaca panas melampau.
Susulan aduan itu, sepasukan anggota bersama aktivis haiwan telah bertindak menyelamatkan anjing tersebut dengan bantuan polis.
Lelaki terbabit turut didakwa bersikap kasar terhadap pasukan penyelamat ketika operasi dijalankan.
Hasil siasatan, polis menahan suspek dan mengemukakan kertas pertuduhan ke mahkamah.
Pada peringkat awal, kes didakwa di bawah Seksyen 11 Akta Kekejaman Terhadap Haiwan sebelum mahkamah menambah Seksyen 429 Kanun Keseksaan India yang memperuntukkan hukuman denda terhadap individu yang menyebabkan kecederaan kepada haiwan.
Kes tersebut mula dibicarakan pada 22 Januari 2025 di hadapan Majistret Tambahan Ketua Kehakiman, Jitendra Singh.
Perbicaraan berlangsung selama enam sesi dalam tempoh kira-kira 15 bulan.
Sepanjang prosiding, tertuduh mengaku bersalah atas perbuatan tersebut sebelum mahkamah mensabitkan kesalahan.
Pada Khamis, mahkamah memutuskan untuk mengenakan denda sebanyak 50 rupee (RM2) di bawah Akta Kekejaman Terhadap Haiwan serta 1,000 rupee (RM42) di bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan India.



