Pelawak dan penyanyi, Achey tampil berkongsi pandangan peribadinya berhubung acara festival muzik berkonsepkan air atau Rain Rave Water Music Festival 2026 yang bakal di adakan di Bukit Bintang pada 30 April nanti.
Menurut pemilik nama lengkap, Mohd Nasir Hamzah, 39, sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, acara sedemikian mampu mendorong kepada berlakunya lebih banyak isu sosial yang melampau.
Malah, penganjuran program tersebut juga dilihat bukan budaya rakyat Malaysia apatah lagi ia dianjurkan secara besar-besaran.
“Maaf jika pandangan dan pendirian saya salah. Saya meletakkan dan menyuarakan diri saya sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam.
“Ini kerana, ia akan berkaitan dengan isu sosial yang melampau dan bukan budaya kita sebagai rakyat Malaysia menganjurkan program begini secara besar-besaran,”katanya menerusi hantraan di Threads.
Meskipun tegas dengan pendiriannya, namun Achey tampil memohon maaf kepada rakan selebriti yang terlibat dalam acara berkenaan.
“Assalamualaikum, saya Mohd Nasir Hamzah dekat sini saya nak bagitahu dari sudut peribadi saya tidak menyokong sama sekali dan membantah program Rain Rave yang berlangsung di Bukit Bintang.
“Pada pandangan saya banyak kesan buruk, dan kesan sosial yang berlaku. Saya minta maaf, mungkin ada rakan-rakan selebriti yang terlibat dalam program tersebut dan saya bukan nak menidakkan rakan-rakan selebriti yang lain cuma, saya tidak menyokong program tersebut. Itulah pandangan saya peribadi. Apa kata anda?,” jelasnya.
Sekadar info, acara berskala besar itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan konsep unik yang menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif.
Antara artis tempatan yang bakal membuat persembahan di pentas utama ialah Joe Flizzow, Mimifly, Killa Driz, DJ Cza, Dolla dan De Fam, yang mewakili gabungan genre hip hop, pop dan muzik elektronik.
Manakala, barisan artis antarabangsa pula menampilkan nama seperti, Wukong dan Bassjackers menerusi kolaborasi Wujackers, selain penyertaan artis dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.




