JAKARTA – Perbandingan sistem identiti digital Indonesia dan Malaysia kembali menjadi perhatian umum selepas pempengaruh, David Alfa Sunarna membangkitkan isu berkenaan di media sosial.
David mendakwa penggunaan Kartu Tanda Penduduk elektronik (e-KTP) masih belum optimum walaupun telah menelan belanja besar sejak ia dilancarkan.
Menerusi ulasannya, sistem MyKad di Malaysia dianggap jauh lebih maju kerana telah diintegrasikan dengan pelbagai perkhidmatan penting termasuk pengagihan subsidi bahan api yang dapat dimanfaatkan rakyat.
Sebaliknya, e-KTP didakwa masih terhad kepada keperluan pentadbiran seperti fotokopi dokumen walaupun telah dilengkapi teknologi cip dan data biometrik.
Kelemahan e-KTP turut disuarakan di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Pengerusi Komisi II DPR RI, Muhammad Rifqinizamy Karsayuda menilai sistem pentadbiran kependudukan Indonesia masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia.
“Saya buat perbandingan dengan Malaysia kerana ia dekat dengan kita dan negaranya merdeka 10 tahun selepas Indonesia,” katanya pada sesi di DPR seperti dipetik Kompas.com pada minggu lalu.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya ketika berada di Malaysia pada tahun 2007–2009, di mana rakyat negara jiran hanya perlu menggunakan nombor kad pengenalan untuk pelbagai urusan tanpa dokumen tambahan.
Perkara itu menimbulkan persoalan mengapa Indonesia masih belum dapat menandingi Malaysia dalam pelaksanaan e-KTP, khususnya dari segi integrasi dengan pelbagai perkhidmatan penting.
Perlu disokong fakta
Pakar keselamatan siber, Alfons Tanujaya bagaimanapun menegaskan perbandingan antara Malaysia dan Indonesia dalam hal integrasi identiti digital perlu dilakukan dengan berhati-hati.
Menurutnya, kritikan melampau tanpa disokong fakta yang jelas boleh mengelirukan banyak pihak.
“Sebelum membuat perbandingan antara Malaysia dan Indonesia, kita perlu terlebih dahulu membetulkan kerangka pemikiran yang kurang tepat serta memahami kompleksiti isu yang terlibat. Kejayaan Malaysia tidak semestinya bermakna Indonesia boleh atau wajar menggunakan pendekatan sama,” ujarnya.
Menurutnya, Malaysia menguruskan kira-kira 33 juta data penduduk melalui sistem pentadbiran berpusat dengan sokongan cip standard MULTOS (sistem operasi keselamatan).
Infrastruktur Kunci Awam (PKI) atau sistem penyulitan turut dibangunkan dengan MyKad antara tahun 2001–2004, bersama perundangan yang mewajibkan bank dan syarikat telekomunikasi menerima ia sebagai satu-satunya dokumen pengesahan akaun (KYC) yang sah.

Integrasi identiti digital di Indonesia bukan perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana ia juga berisiko menyebabkan kebocoran data jika dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Simpan data biometerik statik
Indonesia pula masih belum mempunyai asas tersebut secara menyeluruh. Beliau turut menyoroti kesan besar daripada skandal rasuah projek e-KTP yang menjejaskan ekosistem sejak awal sebelum sempat dibangunkan.
Alfons juga menambah bahawa keadaan geografi Indonesia yang terdiri daripada ribuan pulau menjadikan perbandingan teknikal kurang adil.
Beliau menjelaskan bahawa kekeliruan utama terletak pada fungsi cip e-KTP itu sendiri. Tambahnya, cip tersebut bukan direka untuk transaksi atau pengesahan aktif.
“Cip e-KTP bukan untuk transaksi atau pengesahan aktif. Ia direka untuk menyimpan data biometrik statik,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kekurangan kemampuan kriptografi menjadi masalah utama.
“Ia bermaksud tiada keupayaan tandatangan digital dan tiada mekanisme cabaran respons yang sangat diperlukan untuk pengesahan yang selamat,” menurutnya.
Selain itu, masalah lain yang dikenal pasti adalah ketidakseragaman spesifikasi cip antara kelompok pengeluaran dan pengagihan infrastruktur pembaca cip yang belum menyeluruh serta tidak berfungsi secara maksimum.
Dalam konteks keselamatan, Alfons melihat isu utama melibatkan kelemahan dalam koordinasi antara agensi. Menurutnya, setiap institusi bergerak secara berasingan dengan standard yang berbeza.
Asas kukuh
Alfons turut menghuraikan beberapa faktor utama yang menjadikan Malaysia lebih maju dalam integrasi identiti digital termasuk kewujudan satu autoriti tunggal dengan mandat undang-undang yang kukuh.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia ialah satu-satunya autoriti yang mengeluarkan dan mengurus MyKad dengan kuasa penuh,” jelasnya.
Selain itu, Malaysia juga mewajibkan sektor awam dan swasta menggunakan MyKad, sekali gus mewujudkan insentif ekosistem yang kukuh kerana perniagaan perlu melabur dalam sistem pengesahan.
Selain itu, infrastruktur kriptografi telah dibangunkan sejak awal pelaksanaannya.
Alfons menegaskan integrasi identiti digital di Indonesia bukan perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam masa singkat. Ia memerlukan pendekatan berperingkat dengan asas yang kukuh.
“Ini bukan soal mengejar siapa lebih maju ke depan, tetapi memastikan reka bentuk yang efisien sejak awal,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tanpa pembaikan asas yang komprehensif, usaha integrasi yang dituntut oleh semua pihak berpotensi untuk menemui kegagalan.
“Jika asasnya belum kukuh, langkah integrasi hanya akan memperbesar masalah apabila berlaku kebocoran data,” menurutnya lagi. – Agensi



