Komando kritikal selepas didakwa jalani hukuman di kem, LFL gesa klasifikasi kes sebagai cubaan bunuh

Komando kritikal selepas didakwa jalani hukuman di kem, LFL gesa klasifikasi kes sebagai cubaan bunuh

bhnews@bh.com.my

Petaling Jaya: Lawyers for Liberty (LFL) menuntut penjelasan segera daripada kerajaan berhubung kecederaan parah seorang anggota komando yang kini kritikal selepas didakwa dikenakan hukuman di sebuah kem tentera di Johor, Mac lalu.

Peguam LFL, N Surendran berkata, sehingga kini keluarga dan pihak peguam masih belum menerima penjelasan munasabah mengenai insiden menimpa Truper Abdul Hamid Talib, 25.

Beliau berkata, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal apabila tidak sedarkan diri, tidak mampu bercakap serta bergantung kepada bantuan perubatan untuk bernafas dan menerima nutrisi melalui tiub.

“Mangsa juga mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sehingga sebahagian tengkorak terpaksa dibuang.

“Keadaan ini menyebabkan beliau berdepan risiko hilang upaya kekal,” katanya pada sidang media di pejabat LFL di sini, hari ini.

Turut hadir, ibu mangsa, Josmah Duim, 54, kakak, Noreliana Talib, 30, dan abang, Saifudin Sajali, 29.

Surendran berkata, maklumat diterima menunjukkan kecederaan itu berlaku ketika satu hukuman dikenakan ke atas mangsa di kem pada 11 Mac lalu.

Untuk rekod, mangsa, Abdul Hamid bertugas di Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor dan berasal dari Bum Bum Semporna, Sabah.

“Kami dimaklumkan kecederaan itu berlaku ketika hukuman dikenakan, bukan akibat terjatuh seperti dimaklumkan sebelum ini.

“Sehingga hari ini tiada penjelasan rasmi diberikan oleh pihak tentera atau kerajaan mengenai bagaimana mangsa boleh berada dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian itu sudah dibuat oleh ahli keluarga mangsa pada 14 Mac lalu di Balai Polis Mersing, namun tiada perkembangan siasatan dimaklumkan setakat ini.

“Tiada sebarang pertuduhan dibuat dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan walaupun kes ini sangat serius.

“Kami melihat terdapat kegagalan untuk memberi penjelasan kepada keluarga dan orang awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan dan pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.

“Kerajaan, Kementerian Pertahanan dan kepimpinan tentera perlu memberi penjelasan penuh mengenai apa yang berlaku kepada mangsa.

“Kami juga menuntut Ketua Polis Negara mengarahkan satu pasukan khas dari Bukit Aman untuk menyiasat kes ini dengan segera,” katanya.

Surendran berkata, semua anggota yang disyaki terbabit perlu digantung tugas sementara siasatan dijalankan bagi memastikan ketelusan.

“Langkah penggantungan penting bagi memastikan siasatan dapat dilakukan tanpa gangguan.

“Kes ini juga perlu diklasifikasikan sebagai percubaan membunuh memandangkan tahap kecederaan yang dialami mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menuntut supaya semua pihak yang didapati bertanggungjawab didakwa di mahkamah tanpa mengira pangkat.

“Kami mahu melihat pendakwaan dilakukan supaya kejadian seperti ini tidak berulang.

“Kami juga mendesak kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, siasatan menyeluruh penting bagi mengenal pasti sama ada amalan hukuman fizikal tidak sah berlaku dalam kem tentera.

“Jika benar hukuman fizikal seperti itu dilakukan, ia bercanggah dengan peraturan Angkatan Tentera.

“Kami mahu kebenaran didedahkan dan keluarga mangsa mendapat keadilan,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga mangsa, Suzana Norlihan mendakwa, pihak kem cuba menyekat akses keluarga kepada laporan perubatan mangsa.

Beliau berkata, laporan berkenaan hanya diperoleh selepas desakan dibuat terhadap pihak kem.

“Pihak kem memberi alasan tidak boleh memberikan laporan itu kerana bimbang kes dibawa ke mahkamah.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha untuk menghalang keluarga mendapatkan maklumat sebenar,” katanya.

Suzana berkata, beliau turut menerima maklumat daripada beberapa individu yang mendakwa hukuman fizikal tidak sah adalah amalan dalam unit terbabit.

“Maklumat diterima menunjukkan hukuman secara fizikal bukan perkara asing dan sudah menjadi kebiasaan.

“Perkara ini perlu disiasat kerana ia bercanggah dengan peraturan sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, keluarga juga tidak menerima bantuan dan pampasan sewajarnya bagi menampung keperluan penjagaan mangsa yang kini kritikal.

“Abdul Hamid kini memerlukan penjagaan rapi dan keluarga terpaksa menanggung sendiri keperluan termasuk susu khas dan lampin pakai buang.

“Keadaan ini menambah beban kepada keluarga yang sudah berdepan tekanan emosi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top