GAZA – Kanak-kanak yang dilahirkan ketika tercetusnya konflik di Gaza kini membesar dengan pelbagai kecacatan kekal, kesan daripada serangan berterusan, pendedahan kepada gas toksik, kecederaan melecur teruk serta sistem kesihatan yang hampir lumpuh sepenuhnya.
Menurut laporan Al Jazeera, bayi yang lahir pada awal konflik kini berdepan risiko hilang keupayaan fizikal, kecacatan kongenital serta trauma kesihatan jangka panjang akibat keadaan persekitaran yang tercemar dan kekurangan rawatan perubatan kritikal.
Antara kes yang dilaporkan ialah seorang bayi perempuan, Nour Abu Samaan, yang dilahirkan pada 7 Oktober 2023, beberapa jam sebelum serangan besar-besaran bermula di Gaza.
Menurut ibunya, Samar Hammad, keadaan anaknya berubah dramatik selepas hospital berhampiran diserang dan kawasan sekitar dipenuhi oleh asap serta gas toksik.
“Saya nampak anak saya tiba-tiba sesak nafas dan hampir tercekik ketika saya mendukungnya, malah warna tubuhnya bertukar biru dan dia tidak bergerak,”kata beliau.
Doktor kemudian mengesahkan Nour mengalami kelumpuhan pergerakan akibat kesan penyedutan gas toksik, menjadikan kehidupannya bergantung sepenuhnya kepada rawatan hospital sejak bayi.

Warda al-Jarou mendukung anak perempuannya yang berusia enam bulan, Misk. Bayi itu dilahirkan dengan kecacatan teruk selepas ibunya berulang kali terdedah kepada gas toksik dan pengeboman ketika hamil. Foto Agensi
Hospital musnah
Keluarga Nour turut melalui detik tragis apabila Hospital Kanak-Kanak Al-Nasr di utara Gaza dibom ketika dia dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Serangan itu menyebabkan kematian ramai bayi lain yang tidak sempat dipindahkan selepas sistem sokongan hayat diputuskan.
Data Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan sekurang-kurangnya 1,200 kanak-kanak mengalami kecederaan saraf tunjang dan lumpuh akibat serangan sejak konflik bermula.
Dalam kes lain, seorang bayi enam bulan, Misk al-Jarou, dilahirkan dengan kecacatan fizikal serius termasuk ketiadaan sendi jelas pada tangan dan kaki.
Ibunya mendakwa keadaan itu berpunca daripada pendedahan berterusan kepada asap dan bahan kimia ketika hamil.
Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan 322 kes kecacatan kelahiran pada tahun 2025, meningkat dua kali ganda berbanding sebelum perang.
Pihak berkuasa kesihatan mengaitkan peningkatan itu dengan kekurangan makanan, pendedahan bahan toksik serta runtuhnya sistem penjagaan pranatal.
Kanak-kanak terbakar dan hilang anggota badan
Seorang lagi kanak-kanak, Mohammed Abu Hajeela, berusia dua tahun, mengalami melecur tahap tiga selepas serangan udara mengenai sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan.
Dia kini perlu memakai alat tekanan selama 20 jam sehari untuk rawatan parut serius.
Menurut laporan, kira-kira 1,000 kanak-kanak di Gaza mengalami amputasi atau kecederaan kekal akibat konflik berterusan.
Pihak Kementerian Kesihatan turut melaporkan perubahan demografi ketara di Gaza, termasuk penurunan kadar kelahiran dan peningkatan kematian bayi.
Sekurang-kurangnya 457 bayi meninggal dunia dalam minggu pertama kelahiran pada tahun lalu, manakala ribuan kelahiran pramatang direkodkan.
Lebih 4,000 wanita hamil mengalami kelahiran pramatang, dengan ramai bayi lahir di bawah berat normal akibat kekurangan nutrisi dan tekanan peperangan.

Nour Abu Samaan, yang mengalami kelumpuhan selepas terhidu gas toksik akibat serangan Israel ketika masih bayi kini duduk di dalam khemah pelarian. Foto Agensi
Akses rawatan terhad, ramai menunggu bantuan
Walaupun ribuan kanak-kanak memerlukan rawatan di luar negara, sekatan terhadap lintasan Rafah menyebabkan proses pemindahan perubatan menjadi sangat terhad.
Setakat ini, hanya sebahagian kecil pesakit dibenarkan keluar untuk rawatan lanjut.
Pegawai kesihatan Gaza memberi amaran bahawa setiap kelewatan membawa risiko kehilangan nyawa kanak-kanak yang masih menunggu peluang rawatan. – Agensi



