Lelaki pura-pura beli larikan barang kemas RM26,000

Lelaki pura-pura beli larikan barang kemas RM26,000

am@hmetro.com.my

Jerantut: Lelaki masuk ke dalam kedai emas dan berpura-pura mahu membelinya sebelum bertindak melarikan beberapa barangan kemas bernilai hampir RM26,000 di bandar ini, pada Selasa lalu.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, seorang jurujual wanita berusia 26 tahun dikatakan melayan lelaki itu yang kononnya mahu membeli cincin pertunangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut Deputi Superintendan Arshad Ayob berkata, suspek yang memakai baju warna hitam, merah dan putih, berseluar pendek serta bertopi hitam itu dikatakan minta untuk melihat beberapa bentuk cincin emas sebelum beralih ke gelang emas.

“Jurujual berkenaan kemudiannya mengeluarkan beberapa barang kemas untuk dipilih suspek termasuk gelang emas, cincin emas dan cincin perak,” katanya.

Menurutnya, ketika jurujual berkenaan berpaling ke belakang untuk mengambil barangan lain seperti yang diminta lelaki itu, suspek dipercayai mengambil kesempatan melarikan semua barang kemas yang ada di atas meja pameran sebelum lari keluar dari premis berkenaan.

Katanya, jurujual berkenaan cuba mengejar suspek tetapi lelaki terbabit sudah menghilangkan diri.

“Antara barangan yang dikenal pasti dilarikan lelaki itu adalag tiga utas gelang emas, sebentuk cincin emas dan sebentuk cincin perak dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM25,901,” katanya.

Menurutnya, premis berkenaan mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan proses mengesan cap jari turut dilakukan di lokasi kejadian sebelum dua cap jari berjaya diperoleh untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha mengenal pasti suspek dan mengesannya sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top