Kangar: Agrobank terus memperluas akses perkhidmatan kewangannya kepada komuniti setempat menerusi pembukaan cawangan baharunya di Kuala Perlis yang menjadi rangkaian ke-28 bank itu di Wilayah Utara, Rabu lalu.
Agrobank dalam satu kenyataan memaklumkan pembukaan cawangan baharu itu juga mencerminkan aspirasi bank itu dalam memperkukuh agenda keterangkuman kewangan menerusi penyediaan akses perbankan yang lebih meluas kepada komuniti setempat.
“Ini selaras dengan peranan Agrobank sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong pembangunan sosioekonomi negara,” maklum kenyataan itu.
Majlis perasmian cawangan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Agrobank berkata, cawangan itu juga akan menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank sebagai projek perintis pertama di Kuala Perlis bagi menyediakan akses tunai segera kepada komuniti setempat termasuk usahawan kecil, nelayan dan pelanggan individu yang memerlukan penyelesaian kewangan fleksibel dan mudah diakses.
“Cawangan ini dilengkapi dengan kemudahan ATM serta perkhidmatan transaksi tunai seperti deposit dan pengeluaran wang bagi membolehkan pelanggan menikmati akses perbankan 24 jam secara lebih mudah dan pantas selari dengan peningkatan penggunaan transaksi layan diri,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Raja Muda Perlis menerusi titah ucapannya menyeru semua pihak supaya menyokong inisiatif itu dengan memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan disediakan khususnya bagi pengusaha dalam bidang pertanian, perikanan serta industri asas tani yang menjadi tunjang ekonomi setempat.
“Kewujudan cawangan ini bukan sekadar penambahan fizikal, tetapi pemacu transformasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
“Ambillah peluang untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk Ar-Rahnu Agrobank yang diperkenalkan sebagai projek perintis di Kuala Perlis,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kemudahan itu menyediakan akses tunai secara pantas, mudah serta patuh syariah sekali gus menyokong kelancaran urusan harian dan memperkukuh kestabilan ekonomi komuniti.
“Pendekatan itu mencerminkan usaha bersepadu dalam membentuk masyarakat yang celik kewangan, progresif serta berdaya tahan dalam menghadapi arus perubahan semasa.
“Inisiatif yang digerakkan ini diyakini mampu memberikan impak berpanjangan serta mempertingkat taraf hidup komuniti di Kuala Perlis dan seluruh Perlis,” titah Baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd



