am@hmetro.com.my
RAMAI wanita menganggap perubahan pada tubuh mereka sekadar perkara biasa.
Jerawat tidak hilang, haid datang tidak menentu, berat badan naik tanpa sebab jelas.
Semua itu sering ‘disapu’ di bawah label ‘hormon tak stabil’. Namun, hakikatnya tubuh jarang berubah tanpa sebab.
“Ada bulan datang, ada bulan hilang.” Dia tersenyum ketika berkata begitu, seolah-olah itu perkara kecil.
Tetapi, di sebalik senyuman itu, ada kegusaran yang sudah lama disimpan.
Jerawat di wajahnya tidak pernah benar-benar hilang.
Haidnya pula tidak pernah menentu. Ada kalanya berbulan-bulan tidak datang, kemudian muncul secara tiba-tiba.
Ramai menganggap ini biasa. Tetapi, bagi sesetengah wanita, ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.
Ini adalah suara tubuh yang sedang meminta untuk difahami.
Keadaan ini dikenali sebagai sindrom ovari polisistik atau ‘polycystic ovary syndrome’ (PCOS), satu gangguan hormon yang lazim berlaku dalam kalangan wanita usia reproduktif.Ia bukan sekadar masalah haid. PCOS membabitkan ketidakseimbangan hormon, gangguan ovulasi dan perubahan metabolik dalam tubuh.
Dianggarkan, antara enam hingga 20 peratus wanita mengalaminya, namun ramai tidak menyedarinya.
Jerawat berpanjangan, pertumbuhan bulu berlebihan di muka atau badan serta rambut yang semakin menipis bukan sekadar isu kecantikan.
Ia boleh menjadi tanda ‘hiperandrogenisme’ iaitu keadaan apabila hormon lelaki seperti androgen meningkat dalam tubuh wanita.
Apabila hormon ini meningkat, kesannya mula kelihatan. Ada wanita yang perasan bulu di bibir, dagu atau dada menjadi lebih kasar dan jelas. Keadaan ini dikenali sebagai ‘hirsutisme’.
Pada masa sama, perubahan kulit juga boleh berlaku. Kawasan seperti leher, ketiak atau celah paha menjadi lebih gelap, tebal dan terasa seperti baldu.
Ini dikenali sebagai ‘acanthosis nigricans’. Perubahan ini sering dikaitkan dengan rintangan insulin iaitu keadaan apabila tubuh tidak menggunakan insulin dengan berkesan.
Rintangan insulin bukan sahaja memberi kesan pada kulit, tetapi juga meningkatkan risiko diabetes mellitus jika tidak dikawal.
Dalam banyak kes, wanita hanya merawat apa yang kelihatan di permukaan tanpa menyedari bahawa punca sebenar berada jauh lebih dalam, membabitkan hormon dan metabolisme tubuh.
PCOS tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia membabitkan gabungan faktor genetik dan gaya hidup.
Ramai wanita dengan PCOS mengalami rintangan insulin. Apabila insulin meningkat, ia merangsang penghasilan androgen yang lebih tinggi.
Ini mengganggu keseimbangan hormon dan menjejaskan proses ovulasi.
Gaya hidup kurang aktif, pemakanan tidak seimbang dan peningkatan berat badan boleh memburukkan lagi keadaan ini.
Bagi ramai wanita, detik paling mencabar adalah apabila sukar hamil.
Apabila ovulasi tidak berlaku secara teratur, peluang kehamilan menjadi lebih rendah.
Ramai hanya mengetahui mereka menghidap PCOS selepas melalui tempoh panjang mencuba untuk mendapatkan zuriat.
Namun, PCOS bukan penamat kepada harapan.
Dengan rawatan yang sesuai, ramai wanita masih mampu hamil dan melahirkan anak dengan selamat.
PCOS boleh diurus. Perubahan gaya hidup adalah asas utama.
Penurunan berat badan walaupun sedikit boleh membantu memperbaiki keseimbangan hormon dan meningkatkan peluang ovulasi.
Rawatan perubatan juga boleh membantu mengawal haid, mengurangkan gejala hormon lelaki dan merangsang ovulasi bagi wanita yang ingin hamil.
Pendekatan rawatan perlu disesuaikan mengikut keperluan setiap individu.
Di sebalik perubahan fizikal, ramai wanita dengan PCOS berdepan tekanan emosi yang tidak kelihatan.
Rasa rendah diri, kebimbangan dan tekanan boleh memberi kesan kepada kehidupan harian.
Dalam keadaan ini, sokongan daripada suami, ibu bapa dan ahli keluarga amat penting.
Ada kalanya, seorang wanita tidak memerlukan jawapan. Dia hanya mahu difahami.
Haid tidak teratur. Jerawat berpanjangan. Perubahan pada tubuh. Semua ini bukan perkara kecil.
Ia mungkin isyarat awal kepada sesuatu yang lebih besar. Semakin awal dikenal pasti, semakin besar peluang untuk mengawal kesannya.
Ramai wanita belajar menyesuaikan diri dengan perubahan ini dalam diam, tanpa benar-benar memahami apa yang sedang berlaku pada tubuh mereka.
Mereka menutup rasa risau dengan senyuman. Menangguhkan soalan yang sepatutnya ditanya lebih awal.
PCOS bukan sekadar masalah luaran. Ia adalah keadaan hormon yang kompleks, yang memerlukan kefahaman, rawatan dan sokongan.
Dan apabila seorang wanita berkata tubuhnya berubah, mungkin itu bukan sekadar keluhan.
Mungkin itu adalah tubuhnya yang sedang meminta untuk difahami.
Penulis Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




