Bukan lagi rahsia

Bukan lagi rahsia

Nama kod yang digunakan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia ketika berkomunikasi tentang keselamatan keluarga pertama Amerika Syarikat (AS), bukan lagi menjadi rahsia di Washington.

Menurut Business Insider, walaupun ia bertujuan untuk dirahsiakan, nama kod itu dengan cepat diketahui umum sama ada melalui pemfailan kerajaan, sumber yang membocorkannya ke saluran berita atau apabila perbualan ejen didengari di acara awam.

Memandangkan pelbagai teknologi baharu membolehkan ejen keselamatan memantau keluarga paling penting di AS, nama-nama itu tidak lagi begitu rahsia. Berikut adalah nama kod untuk 10 pemimpin tertinggi negara itu dan pasangannya:

Presiden John F Kennedy: Lancer

Nama kod Kennedy mengingatkan kembali kepada Lancelot, salah seorang wira Kesatria Meja Bulat Raja Arthur. Selepas kematiannya, Jacqueline Kennedy mempopularkan gelaran “Camelot” merujuk kepada kepresidenannya.

Wanita Pertama Jacqueline Kennedy: Lace

Nama kod Jacqueline Kennedy sesuai dengan imejnya sebagai salah seorang penghuni yang paling elegan dalam sejarah Rumah Putih, yang memakai renda untuk perkahwinannya yang berprofil tinggi dan semasa acara seperti lawatan negara yang diliputi secara meluas ke Perancis.

Presiden Lyndon B Johnson: Volunteer

Johnson mengekalkan nama kod sama yang digunakannya ketika menjadi naib presiden kepada Kennedy.

Wanita Pertama Lady Bird Johnson: Victoria

Lady Bird Johnson ialah seorang wanita yang mempunyai pelbagai nama. Nama lahirnya ialah Claudia Alta Taylor, tetapi seorang pengasuh perempuan menggelarnya Lady Bird, menurut Persatuan Sejarah Rumah Putih. Bagi Perkhidmatan Rahsia, beliau dikenali sebagai Victoria.

Presiden Richard Nixon: Searchlight

Nama kod yang diberikan kepada Nixon menambahkan sedikit ironi pada legasinya dalam konteks skandal Watergate yang menyebabkan peletakan jawatannya.

Wanita Pertama Pat Nixon: Starlight

Pat Nixon memilih nama kod “Starlight,” sepadan dengan pilihan suaminya iaitu “Searchlight.”

Presiden Jimmy Carter: Deacon

Pengabdian terbuka Carter terhadap kepercayaan Kristiannya menjadikan nama kod ini tepat dengannya.

Wanita Pertama Rosalynn Carter: Dancer

Rosalynn Carter juga menggunakan nama kod “Lotus Petal.”

Presiden Ronald Reagan: Rawhide

Bekas pelakon itu pernah muncul sebagai koboi di layar perak, tetapi minat Reagan terhadap semua perkara Barat turut membentuk imejnya sebagai presiden.

Wanita Pertama Nancy Reagan: Rainbow

Nama kod “Rainbow” adalah tanda minat Nancy Reagan untuk memakai warna-warna terang.

Presiden George H W Bush: Timberwolf

Wanita Pertama Barbara Bush: Tranquility

Selepas kematiannya, bekas ejen Perkhidmatan Rahsia Jonathan Wackrow menulis untuk CNN bahawa nama kodnya “menunjukkan sikapnya dan kesannya yang menenangkan, berperikemanusiaan dan lembut terhadap orang di sekelilingnya.”

Presiden Bill Clinton: Eagle

Wanita Pertama Hillary Clinton: Evergreen

Nama kod Hillary Clinton yang digunakan semasa pilihan raya presiden 2016 adalah nama kod keselamatan yang sama yang digunakannya semasa berkhidmat di Rumah Putih.

Presiden George W Bush: Trailblazer

Bush pada asalnya menggunakan nama kod “Tumbler” ketika bapanya menjadi presiden. Ia ditukar kepada “Trailblazer” ketika beliau menjadi presiden.

Wanita Pertama Laura Bush: Tempo

Anak perempuan kembar Bush, Barbara dan Jenna, menggunakan nama kod Turquoise” dan Twinkle.”

Presiden Barack Obama: Renegade

Walaupun nama itu sepadan dengan kempen Obama, presiden itu dilaporkan hanya memilih kegemarannya daripada senarai perkataan yang dicadangkan yang bermula dengan huruf “R.”

Wanita Pertama Michelle Obama: Renaissance

Anak perempuan Obama, Malia dan Sasha, dikenali sebagai “Radiance” dan “Rosebud.”

Presiden Joe Biden: Celtic

Nama kod Perkhidmatan Rahsia Biden berfungsi sebagai penghormatan kepada warisan Katolik Irelandnya. Beliau juga menggunakan nama kod “Celtic” sebagai naib presiden.

Wanita Pertama Jill Biden: Capri

Jill Biden juga menggunakan nama sama ketika suaminya bergelar naib presiden.

President Donald Trump: Mogul

Trump dilaporkan menggunakan nama kod yang sama semasa kedua-dua penggalnya.

Wanita Pertama Melania Trump: Muse

Ada cadangan bahawa nama wanita pertama itu merujuk kepada kerjayanya di hadapan kamera sebagai model di Bandar Raya New York sebelum dia bertemu dengan suaminya.

Nama syarikat produksi Melania Trump, Muse Films adalah sempena nama kod Perkhidmatan Rahsianya. Muse Films mengeluarkan dokumentari MELANIA yang menceritakan tentang persiapan sebelum pelantikan Trump pada 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top