kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kenaikan kos bahan binaan sehingga antara 30 hingga 40 peratus akibat tekanan rantaian bekalan global dan kenaikan kos logistik dijangka memberi kesan langsung kepada harga rumah di pasaran, sekali gus meningkatkan cabaran pemilikan kediaman terutama dalam kalangan pembeli pertama.
Pensyarah Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata, kenaikan kos seperti simen, pasir dan keluli lazimnya akan diterjemahkan kepada peningkatan harga rumah antara 10 hingga 15 peratus.
“Rentetan krisis di Asia Barat yang menyebabkan lonjakan kos bahan api turut memberi kesan kepada sektor pengangkutan dan logistik serta menaikkan harga bahan binaan.
“Jika kos ini meningkat sehingga 30 hingga 40 peratus, tekanan kepada pemaju adalah sangat besar,” katanya kepada Bisnes Metro.
Beliau menjelaskan, sekiranya pemaju tidak mampu menyerap kenaikan kos terbabit, beban itu akhirnya akan dipindahkan kepada pembeli melalui harga jualan yang lebih tinggi.
Namun katanya, dasar harga siling rumah mampu milik pada RM300,000 sedikit sebanyak membantu mengekang impak kepada golongan berpendapatan rendah.
Mengulas kesan kepada kuasa beli pengguna, Juliana berkata, golongan B40 dan M40 paling terkesan apabila harga rumah terus meningkat.
“Pembeli yang benar-benar bersedia dari segi kewangan masih mampu membeli rumah, tetapi ramai yang mungkin menangguhkan pembelian ke masa lebih sesuai,” katanya.
Menurutnya, pengguna juga beralih kepada alternatif seperti rumah sedia ada yang lebih murah, rumah lelong atau kediaman di kawasan pinggir bandar.
Situasi itu secara tidak langsung boleh mengurangkan permintaan terhadap rumah baharu, namun penurunan permintaan berpotensi memberi kesan kepada penyesuaian harga dalam jangka panjang.
“Jika permintaan menurun, mekanisme pasaran akan menyesuaikan penawaran dan ini boleh memberi tekanan ke arah harga yang lebih stabil atau rendah pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak risiko peningkatan rumah tidak terjual (overhang) sekiranya harga hartanah terus berada di luar kemampuan pembeli.
“Akan terdapat risiko overhang jika harga semakin tidak mampu milik dan dalam keadaan tertentu, penurunan harga boleh memberi manfaat kepada pengguna,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran terhadap trend hartanah yang dilihat semakin dijadikan aset spekulasi yang boleh mendorong kenaikan harga secara tidak sihat.
Sehubungan itu, beliau berkata, keperluan penyelarasan dasar perancangan bandar dan perumahan, termasuk mengawal pembangunan di kawasan padat serta projek bertingkat membabitkan kos penyelenggaraan tinggi.
“Jika tidak dikawal, kos ini boleh meningkatkan beban sara hidup dan menyumbang kepada kemiskinan bandar pada masa hadapan dan fokus pembangunan wajar dialihkan ke kawasan pinggir bandar yang lebih mampu milik,” katanya.
Mengulas langkah mitigasi, Juliana berkata, kerajaan dan industri perlu bertindak segera bagi mengawal impak kenaikan kos terhadap pembeli.
Beliau berkata, antara cabaran utama pemaju ialah ketidaktepatan anggaran kos, kelewatan projek serta peningkatan kos operasi dan buruh.
“Pemantauan kerajaan amat penting termasuk mengkaji semula harga pasaran semasa dan menstabilkan kos bahan mentah, kebergantungan kepada import juga perlu dikurangkan,” katanya.
Tambah beliau, pengukuhan pengeluaran bahan binaan tempatan serta pembangunan sumber gantian dalam negara mampu membantu mengurangkan kesan inflasi global.
“Langkah ini bukan sahaja menstabilkan harga hartanah, malah memastikan ia kekal seiring dengan tahap pendapatan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




