
Operasi maritim baharu digelar ‘Project Freedom’ diumumkan Trump mencetuskan bantahan Teheran.
TEHERAN – “Angkatan Tentera Iran akan menyasarkan mana-mana pasukan asing terutamanya tentera Amerika Syarikat (AS) yang cuba menceroboh atau menghampiri Selat Hormuz”.
Amaran tegas itu diberikan Komander Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, Mejar Jeneral Ali Abdollahi selepas beliau sekali lagi menegaskan Teheran kekal memegang kawalan di laluan strategik tersebut.
“Semua laluan selamat melalui laluan perairan strategik itu mesti diselaraskan dengan tentera Iran. Sejak kebelakangan ini, musuh telah bertindak seperti lanun di perairan antarabangsa, sekali gus mengancam perdagangan global dan keselamatan ekonomi.
“Teheran akan terus memastikan keselamatan Selat Hormuz kekal terpelihara melalui pengurusan yang berkesan. Sebarang tindakan agresif Washington yang bertujuan mengganggu keadaan semasa hanya akan memburukkan lagi situasi dan mengancam kapal-kapal yang terkandas di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kesemua kapal dagang dan kapal tangki perlu melakukan penyelarasan awal dengan pasukan tentera Iran yang ditempatkan di selat tersebut kerana kegagalan berbuat demikian akan membahayakan keselamatan mereka.
Presiden Donald Trump sekali lagi mengundang kemarahan Teheran apabila beliau mengumumkan operasi maritim baharu digelar ‘Project Freedom’ kononnya untuk mengiringi kapal dan membantu kru yang terkandas di Selat Hormuz.
Menerusi catatan di media sosial, pemimpin Republikan itu juga mendakwa wakil AS telah mengadakan rundingan dengan Iran dan proses tersebut menunjukkan kemajuan positif.
Trump bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada perbincangan itu melibatkan cadangan baharu 14 perkara yang dikemukakan Teheran bertujuan menamatkan perang secara kekal. – Agensi



