Mainoo sanggup mati untuk Carrick

Mainoo sanggup mati untuk Carrick

London: Kobbie Mainoo memuji pengurus Manchester United, Michael Carrick dengan mengatakan dia sanggup ‘mati untuknya’.

Bekas pemain tengah itu memberi impak besar di Old Trafford sejak menggantikan Ruben Amorim.

Prestasi cemerlang United menyaksikan mereka berjaya mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan musuh tradisi Liverpool 3-2, semalam dengan Mainoo, 21, menjadi watak penting apabila menjaringkan gol kemenangan.

Bercakap kepada Sky Sports, Mainoo berkata: “Dia (Carrick) memainkan peranan besar. Keyakinan bukan saja pada saya, tapi semua pemain. Kita mahu ikut dia, berjuang untuk dia, malah sanggup mati untuk dia di atas padang. Itulah yang kami tunjukkan hari ini.”

Kebangkitan United di bawah Carrick juga berlaku seiring dengan kembalinya Mainoo ke dalam kesebelasan utama. Produk akademi itu sebelum ini hampir meninggalkan kelab ketika era Amorim, namun kini sudah menandatangani kontrak baharu hingga 2031.

Mengenai kemenangan itu, dia berkata: “Seratus peratus satu kebangkitan luar biasa. Cara kami bangkit, memang kredit kepada pemain dan juga pengurus. Tapi kami masih mahu habiskan musim dengan kuat. Itu belum cukup untuk kami dan mahu terus menang dan menang.”

Tentang prestasinya sendiri, Mainoo tambah: “Memang sukar bila tak dapat bermain. Saya cuba fokus ke depan, terus kerja keras dan kekal merendah diri untuk dapatkan peluang ini. Saya jarang berada dalam situasi menjaringkan gol, tapi gembira dapat lakukannya dalam perlawanan besar seperti ini.”

United dan Mainoo kini mahu meneruskan momentum walaupun sudah layak ke Liga Juara-Juara. Pasukan kendalian Carrick akan bertandang ke Sunderland minggu depan, sebelum menentang Nottingham Forest dan Brighton & Hove Albion sebelum musim berakhir.

Ketika ini, United berada di tangga ketiga Liga Perdana dan jika kekal di posisi itu, ia akan menjadi pencapaian terbaik mereka sejak musim 2022/23.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top