Negeri Sembilan tekad sekat MUTIARA-MSSPP-PSHA

Negeri Sembilan tekad sekat MUTIARA-MSSPP-PSHA

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Selepas berjaya menjulang Piala Sumbangsih, pasukan hoki wanita Negeri Sembilan berhasrat meneruskan momentum baik itu apabila turun melayani kunjungan wakil Pulau Pinang, MUTIARA-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN pada saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) MHL-TNB 2026 di Stadium Hoki Seremban 2, petang esok.

Ketua jurulatih pasukan itu, Shaiful Azli Abd Rahman menegaskan pihaknya tidak memandang mudah cabaran pasukan lawan itu walaupun anak buahnya baharu saja mencatatkan keputusan luar jangka dengan menewaskan pasukan Pahang, 12-0, baru-baru ini.

“Kami tidak memandang mudah cabaran wakil Pulau Pinang itu kerana mereka sebuah pasukan berpengalaman dan menampilkan ramai pemain yang berwibawa.

“Pemain Negeri Sembilan perlu berhati-hati dengan strategi pihak lawan dan berusaha mendapatkan jaringan.

“Saya berharap mereka dapat kekalkan fokus dan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata, esok,” katanya hari ini.

Shaiful Azli berkata, beliau mahu memastikan skuad bimbingannya terus pacu kemenangan dan mendominasi saingan selepas setakat ini berjaya mengumpul enam mata melalui dua perlawanan serta menjaringkan 16 gol.

Menurutnya, walaupun LHWM masih di peringkat awal namun menerusi kedudukan dan pencapaian semasa yang memberangsangkan itu, ia suatu motivasi kepada pemain untuk kekalkan persembahan terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top