
Gambar kiri menunjukkan rakaman CCTV yang membawa kepada penahanan suspek. Insiden itu turut mencetuskan demonstrasi disertai penduduk setempat. Foto Agensi
MUMBAI – India sekali lagi digemparkan dengan kejadian rogol dan bunuh melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan pelaku berumur 65 tahun di sebuah perkampungan di Pune, negeri Maharashtra pada Jumaat lalu dan turut mengundang kemarahan orang ramai termasuk ahli politik.
Pelaku yang mempunyai rekod jenayah lampau telah pun diberkas dan berada di bawah tahanan reman polis hingga Khamis ini.
Menurut siasatan awal, suspek memujuk mangsa dengan makanan sebelum membawanya ke sebuah bangsal di kandang lembu di Bhor.
Kanak-kanak itu yang melawat neneknya sempena cuti sekolah kemudiannya dilaporkan hilang.
Usaha mencari mangsa turut berpandukan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang akhirnya membongkar identiti pelaku. Mayat budak malang itu ditemui di dalam bangsal tersebut.
Kes tersebut didaftarkan di bawah peruntukan berkaitan Bharatiya Nyaya Sanhita dan Akta Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual (Pocso).
Insiden serangan seksual itu turut mencetuskan protes disertai penduduk setempat hingga menjejaskan aliran lalu lintas.
Bagi meredakan kemarahan orang ramai, pihak berkuasa berjanji akan menangani kes itu dengan segera dan memastikan pelaku di heret ke muka pengadilan. – Agensi



