ISKANDAR PUTERI: Johor merancang penubuhan universiti sukan sebagai pelengkap kepada ekosistem sukan sedia ada dalam usaha menjadikan negeri ini hab pembangunan sukan bertaraf tinggi di rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail iaitu ‘Johor Sports Nation 2030’.
“Universiti sukan bukan prasyarat mencapai Johor Sports Nation, sebaliknya berperanan sebagai pelengkap yang boleh mempercepatkan Johor ke arah menjadi hab pembangunan sukan bertaraf antarabangsa.
“Penubuhan universiti sukan ini adalah tertakluk kepada kesediaan ekosistem, keperluan semasa serta kajian kebolehlaksanaan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) berhubung adakah kerajaan berhasrat mewujudkan sebuah universiti sukan sebagai hab pembangunan sukan bertaraf tinggi di negeri ini.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin memberitahu, ekosistem asas yang sempurna akan membantu penubuhan institusi pengajian tinggi (IPT) sedemikian mencapai sasaran dikehendaki.
“Ini penting supaya universiti sukan yang diwujudkan nanti bukan hanya gah sekadar nama, tetapi benar-benar berfungsi sebagai pusat pembangunan atlet berprestasi tinggi yang memberi impak kepada negeri dan juga negara.
“Ketika ini, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pembangunan sukan secara menyeluruh melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) yang turut bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.




