Izreen Azminda, Intan Salleh selesai kemelut secara baik

Izreen Azminda, Intan Salleh selesai kemelut secara baik

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Izreen Azminda akhirnya menamatkan kemelut yang berlarutan selama tiga tahun dengan bekas madunya, Intan Salleh.

Perkara ini dikongsikan oleh Izreen atau nama sebenarnya, Izreen Azminda Aznam, 41, di media sosialnya.

“Akhirnya pertikaian antara kami dapat diselesaikan secara baik. Harapan saya agar selepas ini, hubungan yang terjalin dapat lebih terpelihara demi kebahagiaan kita bersama terutamanya untuk anak-anak,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Izreen turut memuat naik foto berpelukan bersama Intan.

Pertemuan itu berlangsung ketika kedua-duanya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam bagi prosiding kes saman fitnah yang difailkan pada tahun 2023.

Izreen juga memaklumkan pendiriannya untuk tidak menulis sebarang kenyataan yang boleh menyentuh atau berkaitan dengan mana-mana pihak di sosial media.

“Segala perkongsian atau penulisan saya selepas ini adalah bersifat peribadi dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak,” katanya.

Malah dia turut menutup ruangan komen di Instagramnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Izreen iaitu Muhammad Hafiz Hood berkata, kedua-dua pihak sebelum ini melakukan beberapa kali perbincangan sebelum hadir ke mahkamah.

Malah, penyelesaian itu diselesaikan secara sepakat tanpa sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak.

“Semalam dapat dimuktamadkan semua pihak bersetuju untuk berdamai. Tiada sebarang tuntutan dibuat dan kes ditarik semula.

“Sebelum hadir ke mahkamah semalam ada beberapa kali sesi perbincangan dan mereka pun sama-sama mahu selesaikan secara baik,” ujarnya.

Izreen sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Intan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Izreen mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Radzi Abdi Wahid atau Ude pada 8 Ogos 2017.

Ude sebelum itu pernah berkahwin dengan Intan pada 1 Mac 2013 namun bercerai pada 22 Mac 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top