Suspek kes tikam gadis 61 kali dijangka dituduh Khamis ini

Suspek kes tikam gadis 61 kali dijangka dituduh Khamis ini

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes kematian penuntut kolej dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu dijangka dituduh Khamis ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini siasatan kes berkenaan sudah 70 peratus selesai.

Beliau berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan hanya seorang suspek dijangka akan dituduh Khamis ini.

“Seorang lagi suspek yang turut ditahan reman sebelum ini akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek yang dijangka dituduh Khamis ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemukan di Kampung Padang Simah, Ketereh, dengan mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.

Susulan kejadian itu, polis menahan reman empat individu termasuk dua warga emas yang juga ibu bapa kepada salah seorang suspek sebelum warga emas terbabit dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top