Sifatkan Rain Wave berjaya, Teresa minta bayangkan jika impak RM200 juta di bawa ke Langkawi

Sifatkan Rain Wave berjaya, Teresa minta bayangkan jika impak RM200 juta di bawa ke Langkawi

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyifatkan Langkawi semakin ketinggalan dalam persaingan pelancongan ASEAN, walaupun memiliki keindahan yang diiktiraf dunia.

Dakwa kelemahan tadbir urus negeri Langkawi ditinggalkan

Menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial, Teresa menyatakan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri menjadi antara faktor utama pulau peranginan itu gagal menarik jumlah pelancong setanding destinasi lain seperti Phuket dan Bali.

“Kadar peningkatan bilangan pelancong di Phuket adalah sebanyak 4.35 juta orang daripada tahun 2024 ke 2025.
“Manakala di Langkawi, kadar peningkatan adalah hanya 311,101 orang daripada tahun 2024 ke 2025.
“Apa yang lebih ironis, Langkawi menduduki tempat kedua (92.99 mata) dalam “Top Islands: Reader’s Choice Award 2025” oleh Condé Nast Traveler—jauh mengatasi Bali (ke-6) dan Phuket (ke-9).
“Ini membuktikan dunia mengakui keindahan Langkawi, tetapi kepimpinan PAS Kedah gagal menterjemahkan anugerah tersebut kepada angka ketibaan pelancong yang sebenar,” tulisnya.

Kerajaan negeri gagal manfaat potensi?

Teresa turut mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang dilihat gagal memanfaatkan potensi pelancongan, selain mengkritik alasan bahawa Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berada di bawah Persekutuan.

“Daripada Menteri Besar, YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi, sibuk meluangkan masa berlakon dalam filem “The Keris”, mengapakah beliau tidak menggunakan pengaruh tersebut untuk mempromosikan Langkawi secara agresif?

“Jika beliau benar-benar mahu menarik pelancong Muslim, tunjukkanlah kempen kreatif – pamerkan kepimpinan negeri dan ulama berkelah di pantai Langkawi dengan pakaian tradisi orang Kedah atau menyertai aktiviti pelancongan mesra keluarga Muslim.
“Realitinya, mereka hanya tahu menyalahkan pihak lain tetapi tidak melakukan sebarang usaha promosi pelancongan untuk pulau ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan sektor pelancongan mampu memacu ekonomi dengan cepat, merujuk kejayaan acara Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menjana RM200 juta kepada peniaga tempatan.

“Malangnya, pemimpin PAS lebih gemar membantah dan mengekang aktiviti ekonomi seperti ini atas alasan moral yang sempit.
“Bayangkan jika impak ekonomi RM200 juta ini dibawa ke Langkawi? Ia pasti akan merancakkan hotel, kedai makan, dan perkhidmatan teksi di Pulau Langkawi.
“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, banyak turun padang untuk mempromosikan pelancongan di Malaysia, seperti di Rain Rave Water Music Festival, tetapi Menteri Besar Kedah dan kepimpinan Kedah tidak mempromosikan pelancongan di negeri mereka sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Teresa menyeru kerajaan negeri memberi fokus kepada strategi merancakkan ekonomi dan tidak terus dibayangi isu lain.

“Fokuslah kepada strategi merancakkan ekonomi di negeri tadbiran sendiri.
“Langkawi adalah aset negara, jangan biarkan ia layu hanya kerana ketidakmampuan Kerajaan Negeri Kedah untuk berfikir secara global dan progresif,” katanya.

Sumber: Facebook Teresa Kok

Scroll to Top