Pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong tidak sah – Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong

Pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong tidak sah – Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong

am@hmetro.com.my

Seremban: Pelantikan akauntan muda, Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu didakwa tidak sah dan salah dalam aturan adat Sungei Ujong.

Menerusi kenyataan media oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong, lewat petang tadi, memaklumkan bahawa pelantikan Undang Luak Sungei Ujong perlu persetujuan sebulat suara semua ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan ibu-ibu soko waris Klana Hilir selain persetujuan sebulat suara kesemua Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong.

Katanya, pengisytiharan berkenaan juga mestilah dibuat oleh Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

“Justeru, dalam isu pelantikan Muhammad Faris, tiada langsung persetujuan sebulat suara dari ibu-ibu soko waris Klana Hulu, waris Klana Hilir dan tiada langsung persetujuan dari Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah di dalam Luak Sungei Ujong,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa penama Shaharumzaman Abdul Malek yang disebut sebagai Orang Kaya Datuk Laksamana pula telah dipecat pada 20 Mac 2026 dan surat pemecatan telah diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 30 Mac 2026.

Menurutnya, penama berkenaan tiada lagi sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di dalam Luak Sungei Ujong, sekali gus tiada kuasa dalam melantik Undang Luak Sungei Ujong.

Malah katanya, nama Zainol Ariffin Ibrahim sebagai Datuk Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat yang mengesahkan pelantikan tersebut juga telah dipecat pada 28 November 2024 dengan surat pengesahan pemecatan juga telah dikeluarkan oleh Pejabat DKU pada 2 Disember 2024.

Justeru, kenyataan itu menegaskan bahawa Datuk Andulika Mandulika Sungei Ujong yang sah ialah Sazali Mohamed Yasin yang dilantik pada 1 April 2025 dengan surat pengesahan lantikan juga telah dikeluarkan oleh Pejabat DKU bertarikh 11 April 2025.

“Kami menegaskan sekali lagi, adalah dengan ini kami Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong melafazkan taat setia sepenuhnya kepada Datuk Klana Petra Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang sah hingga kini.

“Kami menasihatkan kepada semua agar urusan Luak Sungei Ujong dirujuk terus kepada Dato-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah agar tiada kekeliruan yang berlaku,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, penama-penama yang telah dipecat tiada lagi sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di Luak Sungei Ujong.

Katanya, pengesahan penubuhan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong itu tiada kaitan dengan Balai Undang Luak Sungei Ujong dan penubuhannya di luar pengetahuan Undang Luak Sungei Ujong.

“Merujuk kepada surat DKU bertarikh 22 April 2025, penubuhan ini tiada pengesahan dari Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,” katanya

Terdahulu, media melaporkan akauntan berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari dilantik sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11.

Pelantikan mengikut istiadat kerapatan di Telaga Undang dipilih secara bulat muafakat (consensus) oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-waris Klana Hulu.

Waris Nan Tua Klana Hulu, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman Dato’ Lela Bangsa Abdul Malek, berkata istiadat dijalankan di bawah undang-undang teradat iaitu berkeadilan, berundang, bersalasilah, berteromba pada 22 April lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top