saufi@mediaprima.com.my
Syarikat teknologi sukan, COROS mengumumkan pelancaran model terbaharu jam tangan pintar mereka, COROS PACE 4 Black Crystal, dengan reka bentuk lebih premium tanpa menjejaskan prestasi yang menjadi identiti siri berkenaan.
Model ini penambahbaikan kepada PACE 4 yang sebelum ini menerima pengiktirafan sebagai antara jam tangan larian terbaik, dengan penekanan kepada bahan binaan yang lebih tahan lasak serta kemasan yang lebih elegan.
Antara perubahan utama termasuk penggunaan bezel aluminium aloi siri 6000 yang disalut menggunakan teknologi ‘Physical Vapor Deposition‘ (PVD), sekali gus meningkatkan ketahanan terhadap peluh, garam dan kehausan harian.
Selain itu, rekaan jam turut diperbaharui dengan teknik suntikan dua tona yang menghasilkan kesan lut sinar berlapis, memberikan sentuhan moden dan berbeza berbanding jam tangan sukan konvensional.
Tali silikon yang digunakan juga dilengkapi corak khas melalui teknik cetakan haba bagi memastikan ketahanan jangka panjang tanpa risiko pudar atau mengelupas.
Menyentuh aspek spesifikasi, PACE 4 Black Crystal mengekalkan ciri utama model asal termasuk paparan AMOLED sentuh 2.5D yang jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Walaupun menggunakan bahan lebih premium, jam ini masih ringan dengan berat sekitar 32 gram, sesuai untuk atlet yang mengutamakan keselesaan sepanjang latihan.
Bateri turut menjadi kelebihan utama dengan kemampuan sehingga 41 jam penggunaan GPS dan 19 hari penggunaan harian, menjadikannya antara pilihan kompetitif dalam segmen jam tangan sukan.
Model ini juga dilengkapi mikrofon terbina untuk rakaman nota latihan, serta fungsi integrasi aplikasi COROS yang membolehkan pengguna menjejak pelbagai metrik kesihatan seperti kadar degupan jantung, kualiti tidur dan tahap pemulihan badan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama COROS, Lewis Wu berkata, model ini direka khas untuk atlet yang bukan sahaja mementingkan prestasi, tetapi juga gaya dan kualiti peralatan yang digunakan.
PACE 4 Black Crystal ditawarkan pada harga RM1,399 dan mula dijual melalui platform e-dagang rasmi COROS serta laman web rakan pengedar terpilih.
Spesifikasi
Paparan: AMOLED 2.5D
Bateri: 41 jam penggunaan GPS
Bezel: Binaan aluminium aloi siri 6000
Ciri khas: Sokongan metrik latihan, degupan jantung, HRV dan Voice Pins
© New Straits Times Press (M) Bhd




