
Siargao memiliki pulau yang cantik hingga menarik ramai pelancong. Foto Agensi
MANILA – Kedutaan Israel di Filipina menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku membabitkan pelancong Israel di Siargao, susulan beberapa aduan insiden lagak samseng melibatkan warganya di pulau pelancongan itu.
Duta Israel ke Filipina, Dana Kursh berkata, pihak kedutaan sudah mengambil maklum laporan berkenaan dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi menjalankan siasatan lanjut.
Beliau turut memaklumkan rancangan untuk melawat Siargao bagi memastikan kerjasama penuh dengan pihak kerajaan tempatan dalam menangani isu tersebut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan orang ramai tidak wajar membuat generalisasi terhadap semua pelancong Israel berdasarkan tindakan segelintir individu.
“Jika ada pelancong Israel yang melakukan kesalahan, ia perlu ditangani secara individu, tetapi kami menggesa media supaya tidak melabel semua pelancong Israel sebagai buruk kerana ia jauh daripada kebenaran,” katanya.
Insiden yang tular di media sosial berlaku pada 29 April 2025 di General Luna, apabila seorang lelaki Israel dilaporkan bertindak agresif dalam satu pertengkaran dengan sekumpulan penduduk tempatan.
Video kejadian menunjukkan lelaki itu kelihatan marah dan memegang batu sebelum ditenangkan oleh rakannya.
Dalam insiden berasingan pada April 2026 di Santa Fe, Siargao, sekumpulan penduduk tempatan turut mendakwa diganggu oleh penunggang motosikal warga Israel yang bertindak menghalang kenderaan mereka secara berbahaya.
Kedutaan Israel melalui Timbalan Ketua Misi, Ariel Seidman turut menggesa orang ramai supaya tidak memperbesarkan kenyataan berniat jahat yang boleh menjejaskan hubungan dua hala.
Pihak berkuasa tempatan menegaskan bahawa sebarang salah laku akan diambil tindakan tanpa mengira kewarganegaraan, manakala program pemantauan keselamatan pelancong turut diperkukuh bagi memastikan ketenteraman di pulau peranginan tersebut terus terjamin. -Agensi


