Pahang mahu semua acara Sukma Selangor kekal dipertandingkan

Pahang mahu semua acara Sukma Selangor kekal dipertandingkan

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Pahang mahu semua acara sukan yang sebelum ini dipersetujui kekal dipertandingkan pada temasya Sukma Selangor 2026 yang dijangka berlangsung pada Ogos depan.

Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata ini kerana segalanya sudah dilakukan atlet dan jurulatih dalam memberi saingan di temasya sukan itu nanti.

“Mereka (atlet dan jurulatih) dan Majlis Sukan Negeri, masing-masing sudah meluangkan masa hampir dua tahun berlatih, merancang strategi dan melakukan persiapan.

“Jika digugurkan acara sukan, ia satu kerugian kepada atlet, jurulatih dan majlis sukan yang berkorban daripada segi tenaga dan kewangan.

“Ia termasuk menghantar atlet menyertai kejohanan di dalam dan luar negara demi meraih kejayaan pada temasya sukan ini,” katanya.

Fadzli berkata, jika mahu berjimat, sebaiknya acara perasmian, penutupan dan majlis makan malam mungkin boleh diminimumkan atau tidak diadakan.

“Jangan korbankan acara sukan yang membabitkan atlet kerana mereka sudah berkorban daripada segi komitmen sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, elaun RM100 yang bakal diberikan kepada atlet Sukma diharap dikekalkan dan bukannya dikurangkan susulan tiada perkampungan sukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top