
Kim Keon Hee Foto: Agensi
SEOUL – Seorang hakim Mahkamah Rayuan, Shin Jong-o, ditemui meninggal dunia berhampiran Mahkamah Tinggi Seoul di selatan Seoul kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan pada 6 Mei, hanya lapan hari selepas beliau menyampaikan keputusan penting melibatkan bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee.
Menurut balai polis daerah Seoul, Jong-o dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Pihak polis memaklumkan bahawa satu nota dipercayai ditulis mangsa turut ditemui, namun tidak menyentuh langsung mengenai kes rayuan membabitkan Keon Hee.
Setakat ini, polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Pada 28 April lalu, Jong-O mempengerusikan perbicaraan rayuan yang menyaksikan Keon Hee dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta denda 50 juta won (RM135,999) selepas didapati bersalah dalam beberapa pertuduhan rasuah dan manipulasi saham. – Agensi



