puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengadakan pertemuan bersama legenda rock tanah air, JoBranko dalam suasana penuh harmoni bagi bertukar pandangan.
Menerusi hantaran di Facebook PMWP hari ini, kunjungan hormat berkenaan diketuai gitaris Barbarik, JoBranko yang juga antara tokoh penting dalam arena muzik rock Malaysia.
Pertemuan yang berlangsung penuh ukhuwah sekali gus mengukuhkan silaturahim antara institusi agama dan penggiat seni tempatan dalam membentuk budaya masyarakat lebih berakhlak.
Dalam sesi terbabit, Mufti Wilayah Persekutuan Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil mengemukakan saranan agar JoBranko mendokumentasikan setiap helaian sejarah penglibatannya dalam dunia muzik.
Langkah ini dilihat penting bagi membolehkan segala pengalaman beliau disimpan sebagai khazanah berharga untuk rujukan generasi akan datang.
Selain berkongsi pengalaman, JoBranko turut disarankan untuk terus berkarya dengan memberi tumpuan kepada penghasilan lagu yang sarat dengan nilai ketuhanan, sifat-sifat kemanusiaan serta nilai-nilai murni yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
Pertemuan ini membuktikan keterbukaan PMWP dalam menyantuni pelbagai lapisan komuniti, sekali gus mengiktiraf seni suara dan muzik mempunyai potensi besar dalam menyampaikan mesej murni kepada masyarakat dengan lebih luas.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan di Facebook, JoBranko turut berterima kasih kepada Ahmad Fawwaz dan kakitangan PMWP kerana menerima dan melayan rombongan mereka dengan penuh mesra.
© New Straits Times Press (M) Bhd




