Kapal perang Perancis menuju ke selatan Laut Merah

Kapal perang Perancis menuju ke selatan Laut Merah
Kapal perang Perancis menuju ke selatan Laut Merah

Kapal perang Perancis diarahkan ke timur Mediterranean pada awal Mac lalu daripada kedudukan asal di Atlantik Utara bagi mempertahankan kepentingan Perancis dan negara sekutu daripada impak Perang Iran. – Foto Agensi

PARIS – Kapal pengangkut pesawat, Charles de Gaulle milik Perancis yang membawa kira-kira 20 jet pejuang Rafale sedang menuju ke selatan Laut Merah pada Rabu sebagai persediaan untuk melaksanakan misi memulihkan navigasi di Selat Hormuz.

Pejabat Presiden Emmanuel Macron dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan untuk menghantar isyarat bahawa Paris berupaya mengembalikan semula keamanan di laluan strategik tersebut.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan mengesahkan kapal utama Angkatan Tentera Laut Perancis bersama pengiringnya sedang transit di Terusan Suez menuju ke lokasi sama.

“Keputusan tersebut bertujuan mengurangkan masa yang diperlukan untuk melaksanakan inisiatif itu sebaik sahaja keadaan kembali pulih,” ujar kementerian berkenaan.

Kehadiran armada berhampiran Teluk akan membolehkan penilaian awal terhadap persekitaran operasi serantau sebelum pelancaran kemungkinan pilihan tambahan ketika krisis bagi memperkukuh keselamatan rantau tersebut.

Difahamkan, Macron bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengetuai misi multinasional untuk memastikan kebebasan navigasi di Selat Hormuz dan hanya bertujuan mempertahankan diri dan akan dikerahkan selepas keamanan dicapai. Di bawah operasi itu, lebih 40 negara telah memulakan perancangan ketenteraan di London. – Agensi

 

 

Scroll to Top