
Seramai 16 individu dilaporkan maut, manakala empat lagi cedera selepas sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak di Sumatera, Indonesia.
JAKARTA – Seramai 16 individu dilaporkan maut, manakala empat lagi cedera selepas sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak di Sumatera, Indonesia, semalam.
Pegawai agensi pengurusan bencana, Hasbi Hasidqi, berkata, mangsa yang terkorban membabitkan 14 penumpang bas serta dua individu yang berada dalam lori tangki berkenaan.
“Empat lagi mangsa terselamat dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, termasuk tiga yang mengalami kecederaan lecur serius,” katanya kepada AFP.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan keadaan bas yang rentung selepas kebakaran besar dalam kejadian di Kabupaten Musi Rawas Utara, Sumatera Selatan itu.
Menurut Hasbi, siasatan awal mendapati satu daripada tayar bas dipercayai pecah sebelum pemandu hilang kawalan lalu merempuh lori tangki yang membawa muatan diesel.
Perlanggaran itu mencetuskan kebakaran besar yang menyebabkan api merebak pantas dan memusnahkan kedua-dua kenderaan terbabit.
Indonesia kerap merekodkan kemalangan pengangkutan awam susulan faktor keadaan kenderaan yang sudah berusia serta kurang penyelenggaraan.
Pada April lalu, sebuah kereta api jarak jauh merempuh gerabak khas wanita sebuah tren komuter yang berhenti berhampiran Stesen Bekasi Timur di Jawa Barat, mengorbankan 16 wanita dan mencederakan sekurang-kurangnya 90 penumpang lain.
Beberapa hari selepas itu, satu lagi kemalangan kereta api dilaporkan berlaku di Jawa Tengah apabila sebuah tren merempuh kereta, mengakibatkan empat individu termasuk dua kanak-kanak maut. – AFP



