London: Crystal Palace mencipta sejarah apabila mara ke final Eropah pertama mereka selepas melengkapkan kemenangan agregat bergaya 5-2 ke atas Shakhtar Donetsk, awal pagi tadi bagi memberi peluang kepada pengurus Oliver Glasner menutup era gemilangnya bersama kelab itu dengan kisah dongeng.
The Eagles meraih kemenangan 2-1 ke atas pasukan Ukraine yang kini bermain di gelanggang neutral dalam aksi separuh akhir kedua Liga Konferens UEFA hasil gol sendiri Pedro Henrique dan jaringan Ismaila Sarr.
Anak buah Glasner akan bertemu Rayo Vallecano di final di Leipzig hujung bulan ini selepas wakil Sepanyol itu menewaskan RC Strasbourg Alsace dengan agregat 2-0.
“Kami selalu bercakap sebelum ini, inilah sebabnya ketika kecil kami mahu menjadi pemain bola sepak profesional. Saya beritahu pemain, inilah ganjaran kami dapat dan ganjaran seperti ini tidak boleh dibeli,” kata Glasner kepada TNT Sports.
“Saya juga katakan perkara ini selepas final Piala FA tahun lalu. Sekarang kami akan bermain satu lagi final bersama-sama, jadi apa yang kumpulan pemain ini lakukan untuk Crystal Palace memang luar biasa.”
Shakhtar yang terdesak untuk bangkit daripada kekalahan 1-3 pada aksi pertama, bermula garang di selatan London, namun Palace semakin mengukuhkan cengkaman mereka di Selhurst Park pada minit ke-25 menerusi serangan pantas.
Dmytro Riznyk berjaya menepis rembatan jarak jauh Adam Wharton, tetapi tidak mampu menghalang bola susulan Daniel Munoz yang terkena Henrique sebelum menerjah gawang.
Eguinaldo kembali menghidupkan harapan pelawat apabila menyudahkan peluang dengan tenang ke penjuru atas gol pada minit ke-34.
Penyerang Palace, Jean-Philippe Mateta hampir menjaringkan gol menerusi sepakan gunting akrobatik, namun percubaannya terkena tiang sejurus sebelum rehat ketika tuan rumah terus mengancam.
Aksi secara efektif berakhir sebaik babak kedua bermula apabila Sarr menolak masuk hantaran lintang Tyrick Mitchell dari jarak dekat untuk gol kesembilannya dalam kejohanan musim ini.
Palace kemudian mengawal permainan dengan selesa sambil menikmati suasana meraikan kejayaan bersama penyokong selepas wisel penamat.
Final di Leipzig pada 27 Mei nanti akan menjadi perlawanan terakhir Glasner bersama Palace selepas mengumumkan awal musim ini bahawa beliau akan meninggalkan kelab apabila kontraknya tamat bulan depan.
Pengendali Austria berusia 51 tahun itu yang tiba pada awal 2024, membawa Palace melalui era terbaik dalam sejarah moden kelab termasuk kemenangan 1-0 ke atas Manchester City dalam final Piala FA musim lalu, trofi utama pertama kelab itu.
Palace kemudian menewaskan Liverpool FC menerusi penentuan penalti dalam aksi pembuka musim Perisai Komuniti.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu hanya beraksi dalam pertandingan ketiga Eropah ini selepas diturunkan daripada Liga Europa sebelum musim bermula apabila UEFA memutuskan mereka melanggar peraturan pemilikan berbilang kelab.
Menjuarai Liga Konferens akan menjamin tempat Palace ke Liga Europa musim depan.
Glasner yang pernah memenangi Liga Europa bersama Eintracht Frankfurt pada 2022, mengakui beliau tidak pernah membayangkan mampu membawa Palace ke final Eropah.
“Jika anda mengimpikan sesuatu, anda pasti mahu perlawanan terakhir anda bukan sekadar aksi biasa. Anda mahu bermain untuk trofi, dan sekarang kami berpeluang memburu trofi Eropah. Apa yang saya boleh janjikan, kami akan berikan segala-galanya untuk membawa trofi itu pulang ke Selhurst.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




