hafidzul@hmetro.com.my
Semenyih: Sebuah gudang perabot berdekatan Diamond City, Jalan Broga, di sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian kebakaran, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.45 petang sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba di lokasi hanya empat minit kemudian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hasmizee Lai berkata, kebakaran berkenaan membabitkan struktur bangunan kelas B yang dianggarkan berkeluasan 200 x 50 kaki persegi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari BBP Semenyih pada jam 5.49 petang dan mendapati api sedang marak memusnahkan gudang berkenaan.
“Laporan awal mengesahkan kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan gudang tersebut. Setakat ini, tiada sebarang mangsa dilaporkan terbabit dan kerja pemadaman masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berskala besar itu membabitkan kekuatan keseluruhan seramai 27 pegawai dan anggota.
Menurutnya, selain BBP Semenyih selaku balai utama yang bertindak, operasi turut mendapat bantuan keanggotaan serta jentera dari BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Pandan Indah dan BBP Mantin.
“Turut digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi adalah enam anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Serdang.
“Sebanyak empat jentera pemadam Fire Rescue Tender (FRT), dua lori tangki air (Water Tanker) dan sebuah kenderaan utiliti dari PBS Serdang sedang digunakan dalam operasi memadam kebakaran ini,” katanya.
Katanya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan memandangkan operasi memadam sisa kebakaran dan mengawal keadaan supaya api tidak merebak masih berjalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




