Perang AS-Israel terhadap Iran belum berakhir – Netanyahu

Perang AS-Israel terhadap Iran belum berakhir – Netanyahu

WASHINGTON – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran belum boleh dianggap berakhir selagi stok uranium diperkaya milik Teheran tidak dikeluarkan dari negara itu.

Menurut Netanyahu, Iran masih memiliki bahan nuklear dan beberapa tapak pengayaan uranium yang perlu dibongkar sebelum konflik tersebut boleh ditamatkan sepenuhnya.

“Perang ini belum berakhir kerana masih ada bahan nuklear, uranium diperkaya, yang perlu dikeluarkan dari Iran.

“Masih ada tapak pengayaan yang perlu dibongkar,” katanya dalam wawancara bersama program 60 Minutes terbitan CBS News pada Ahad.

Ditanya bagaimana uranium itu boleh dikeluarkan, Netanyahu berkata: “Anda masuk dan keluarkannya.”

Netanyahu berkata, Presiden AS, Donald Trump turut mempunyai pendirian yang hampir sama berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan pemimpin Israel itu dilihat berbeza dengan pendirian terbuka Trump, yang kini berdepan tekanan domestik semakin kuat untuk menamatkan perang Iran.

Trump sebelum ini menegaskan program nuklear Iran sudah dikawal dan mendakwa Teheran telah “tewas dari segi ketenteraan”.

Dalam wawancara berasingan, Trump berkata, uranium Iran boleh dikeluarkan ‘bila-bila masa’ jika perlu.

“Kami akan mendapatkannya pada satu ketika, bila-bila masa kami mahu. Kami akan memantaunya.

“Jika sesiapa mendekati tempat itu, kami akan tahu dan kami akan musnahkan mereka,” katanya.

Netanyahu bagaimanapun berkata, kaedah terbaik untuk mengeluarkan stok uranium itu adalah melalui satu perjanjian.

“Saya fikir ia boleh dilakukan secara fizikal. Itu bukan masalahnya. Jika ada perjanjian dan anda masuk serta mengeluarkannya, mengapa tidak? Itu cara terbaik,” katanya.

Dalam wawancara sama, Netanyahu turut berkata Israel kekal sebagai sekutu rapat AS, namun beliau mahu negaranya mula mengurangkan kebergantungan kepada bantuan ketenteraan Washington.

“Saya fikir sudah tiba masanya kita melepaskan diri daripada baki sokongan ketenteraan Pentagon.

“Mari mulakan sekarang dan lakukannya dalam tempoh sedekad akan datang,” katanya.

Netanyahu turut menyatakan beberapa matlamat perang masih belum dicapai, termasuk melemahkan rangkaian proksi Iran, program peluru berpandu balistik dan sokongan Teheran kepada kumpulan bersenjata serantau.

Beliau mendakwa Iran masih mahu menghasilkan peluru berpandu balistik, walaupun sebahagian besar keupayaan itu sudah dilemahkan.

Netanyahu turut mendakwa China memberikan sokongan tertentu kepada Iran, termasuk komponen bagi pembuatan peluru berpandu, namun enggan mengulas lanjut.-AFP

 

 

Scroll to Top