Hina sahabat Nabi haram, berdosa besar – Zulkifli

Hina sahabat Nabi haram, berdosa besar – Zulkifli

Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan hari ini berkata tindakan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW adalah haram dan berdosa besar.

“Mencaci mereka bererti menghina insan yang tegakkan Islam bersama Nabi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata sahabat Baginda adalah generasi terbaik dan dipuji oleh Allah SWT serta mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan sayangi para sahabat Rasulullah SAW selain menjauhi fitnah terhadap mereka.

“Pelihara lidah dan penulisan daripada mencemarkan kemuliaan para sahabat Rasulullah,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhamad Zawawi Salleh didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat Amidi Abdul Manan menggesa Nik Zawawi agar segera memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Beliau turut menggesa PAS agar memohon maaf kepada masyarakat Islam di negara ini susulan kenyataan Nik Zawawi, yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama parti itu, yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap sahabat Rasulullah SAW sehingga mencemarkan kemurnian agama Islam.

Amidi berkata jika ⁠tiada sebarang penjelasan daripada Nik Muhammad, pimpinan tertinggi PAS perlu menyatakan sikap dan pendirian terhadap isu berkenaan.

“Rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu pernyataan yang terkandung kebohongan terhadap para Ashabi Rasulullah SAW yang dikeluarkan Nik Zawawi, yang sehingga ini kita menanti penjelasan setelah lebih 24 jam ia berlegar dalam domain komunikasi awam di Malaysia.

“Islam di Malaysia ini terancam bukan kerana kepelbagaian agama, kaum dan budaya tetapi Islam terancam kerana akhlak buruk seorang yang mengakui dirinya pewaris tugasan para nabi tetapi biadab kepada para sahabat Baginda,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top