UEM Group Berhad membelanjakan sebanyak RM5.5 bilion bagi perolehan daripada vendor dan pembekal Bumiputera sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 dalam usaha memperkukuh penyertaan ekonomi Bumiputera dalam sektor strategik negara.
Perbelanjaan tersebut melibatkan lebih 5,000 syarikat Bumiputera yang terlibat dalam pelbagai projek berkaitan infrastruktur, pengurusan aset, pembangunan hartanah dan bahan binaan di bawah rangkaian syarikat kumpulan itu.
Sepanjang tempoh berkenaan, PLUS Malaysia Berhad memperuntukkan sebanyak 90 peratus daripada jumlah perolehannya kepada syarikat Bumiputera, manakala UEM Edgenta Berhad pula menyalurkan 49 peratus perolehan kepada vendor Bumiputera.
UEM Group yang merupakan sayap infrastruktur milik penuh Khazanah Nasional Berhad berkata, langkah tersebut membantu memastikan nilai ekonomi yang dijana menerusi projek pembangunan negara terus kekal dalam ekosistem tempatan.
Selain penganugerahan kontrak, syarikat itu turut melaksanakan Program Pembangunan Vendor Bumiputera (VDP) menerusi anak syarikatnya termasuk PLUS, UEM Edgenta, UEM Sunrise Berhad dan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA).
Program berkenaan menyediakan sokongan menyeluruh melibatkan pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan dan pembinaan keupayaan teknikal bagi membantu vendor meningkatkan daya saing dalam industri.
Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, perbelanjaan RM5.5 bilion itu merupakan pelaburan penting bagi membina daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Menerusi penglibatan lebih 5,000 vendor Bumiputera dalam operasi harian kami merangkumi pengurusan lebuh raya, perkhidmatan aset dan fasiliti, pembangunan hartanah dan bekalan bahan binaan, ia secara langsung membantu membangunkan rangkaian usahawan mahir dan berdaya saing.
“Ia juga membantu mengurangkan risiko kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, UEM Group akan terus memastikan rantaian bekalan tempatan berkembang seiring dengan projek infrastruktur yang semakin kompleks pada masa depan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan negara dapat dikongsi secara lebih saksama selain memperkukuh ekosistem ekonomi tempatan.



