Kos hak siaran Piala Dunia 2026 paling rendah

Kos hak siaran Piala Dunia 2026 paling rendah

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbelanjaan kerajaan bagi mendapatkan hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 adalah paling minimum berbanding edisi terdahulu hasil kerjasama strategik bersama tiga penaja utama.

Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail berkata, sebahagian besar kos bagi memperoleh hak siaran kejohanan itu ditanggung menerusi penajaan syarikat telekomunikasi utama negara.

Menurutnya, kerajaan berjaya mengurangkan beban kewangan berbanding edisi Piala Dunia sebelum ini termasuk kejohanan pada 2022.

“Secara keseluruhannya saya boleh katakan perbelanjaan kerajaan adalah paling minimum malah jika dibandingkan dengan Piala Dunia 2022, perbelanjaan kerajaan kali ini adalah jauh lebih rendah.

“Sebahagian besar diperoleh menerusi penajaan daripada tiga penaja utama kita,” katanya selepas Majlis Pengumuman Penaja Rasmi Siaran Piala Dunia FIFA 2026, hari ini.

Beliau berkata, kos mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia sentiasa meningkat saban edisi dengan beberapa negara terpaksa membayar puluhan juta dolar Amerika Syarikat (AS) bagi memperoleh hak siaran kejohanan itu.

Katanya, Thailand sebelum ini dilaporkan membayar kira-kira AS$40 juta untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022, sekali gus menunjukkan peningkatan mendadak kos penyiaran kejohanan berprestij berkenaan.

“Namun di pihak RTM dan kerajaan Malaysia, hasil kerjasama strategik bersama penaja berjaya memastikan kos kerajaan berada pada tahap paling minimum,” katanya.

Terdahulu, RTM mengumumkan Unifi, CelcomDigi dan U Mobile sebagai penaja utama siaran kejohanan berprestij itu.

Ashwad berkata, semua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan menerusi kerjasama RTM dan Unifi TV termasuk siaran langsung serta siaran tertunda mengikut strategi penggunaan media semasa.

“Kesemua 104 perlawanan akan dibawakan oleh RTM bersama Unifi TV. Tidak semua pengguna mahu menonton secara langsung kerana sekarang kebanyakannya memilih tontonan secara ‘on demand’.

“Sebab itu kita turut menyediakan siaran tertunda dan video atas permintaan (VOD),” katanya.

Menurut beliau, RTM juga menyediakan saluran khas Piala Dunia menerusi RTMKlik bagi membolehkan penonton mengakses semula perlawanan yang sudah berlangsung.

Sebelum ini, RTM memaklumkan Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung manakala sebahagian besar aksi akan turut disiarkan di saluran utama RTM dan platform RTMKlik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top