SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad dijangka mengumumkan hala tuju politik baharu mereka pada Ahad ini dalam satu majlis terbuka di Petaling Jaya.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Rafizi, Farhan Iqbal menerusi jemputan kepada media pada Rabu.
Jemputan tersebut turut disertakan mesej Rafizi yang menyatakan tempoh setahun lalu memberi ruang kepada kedua-dua bekas menteri itu mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor bagi memutuskan hala tuju politik seterusnya.
“Pengumuman ini akan dibuat dalam satu majlis di PJ Performing Arts Centre pada 17 Mei ini.
“Majlis pengumuman ini terbuka kepada orang ramai. Saya menjemput rakyat Malaysia dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang yang mahu menyuburkan aliran politik progresif untuk sama-sama hadir ke majlis ini,” katanya.
Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada Mei tahun lalu dengan alasan kekalahannya dalam Pemilihan PKR dan merasakan tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan parti tersebut menjadi program kerajaan.
Sementara itu, Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam juga atas alasan gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan.
Jelas beliau, pelantikannya sebagai menteri mengambil kira kedudukannya ketika masih menjadi Naib Presiden parti.



