Cuba 'bangkit' semula selepas lebih empat bulan koma

Cuba 'bangkit' semula selepas lebih empat bulan koma

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Beranang: Kedua matanya sudah kabur dan kaki kiri juga sudah tidak kuat berjalan kesan kecederaan dialami selepas terbabit dalam kemalangan pada tanggal 19 Disember 2014.

Meskipun begitu, semangat K Navalan, 36, belum luntur malah sangat cekal kerana berdikari mencari pendapatan dengan menjual minyak wangi dan pewangi kenderaan.

Segalanya bermula sejak tiga tahun lalu iaitu selepas dia kembali berjalan kerana sebelum itu hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.

Menurut Navalan, dia sebelum ini menjual pewangi secara terus dengan bergerak di sekitar kedai makan berhampiran rumahnya.

Kini, Navalan hanya menjual dari rumah dengan membuat siaran langsung di TikTok kerana tidak kuat berjalan dan berdiri dalam tempoh lama.

Dia tidak berseorangan kerana tinggal bersama bapa, N.Krishnan, 75, yang sudah uzur.

“Saya dilahirkan normal tapi jadi begini selepas terbabit dalam kemalangan di Dengkil, Selangor ketika memandu kereta untuk pulang ke rumah di Senawang, Negeri Sembilan.

“Kereta dipandu saya bertembung dengan sebuah lagi kereta namun tak dapat ingat apa yang berlaku.

“Kemalangan itu menyebabkan saya koma selama lebih empat bulan di hospital manakala rakan baik menaiki kereta bersama meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sebuah rumah pangsa, dekat sini.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, keluarga yang banyak memberinya semangat untuk bangkit malah puas membawanya berikhtiar di merata tempat untuk melihatnya sembuh.

Menurut Navalan, dia juga pernah dimasukkan selama setahun di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi menjalani fisioterapi dan proses pemulihan.

“Selepas boleh bangun dan berjalan, saya cuba berniaga untuk kelangsungan hidup.

“Nak cari kerja pun payah kerana saya tak boleh berdiri lama dan buat kerja berat.

“Jadi teruskan berniaga cuma sejak setahun yang lalu, saya mula menjual di TikTok dengan bersiaran langsung setiap hari bermula jam 10 hingga 12 malam atau paling lewat 1 pagi.

“Dalam sehari, saya dapat antara RM20 hingga RM30 dan jika rajin lagi boleh mencecah sehingga RM50. Dalam sebulan saya boleh dapat lebih RM1,000 dan wang itu yang digunakan untuk beli keperluan rumah serta bayar bil api juga air (utiliti),” katanya yang mencari rezeki menerusi akaun TikTok Mr. Nava Collections.

Navalan berkata, dia sendiri akan ke premis syarikat perkhidmatan kurier bagi menghantar pesanan mereka yang membuat pembelian.

“Dulu, saya naik basikal dan ambil masa 15 minit untuk sampai (ke premis syarikat perkhidmatan kurier) hingga pernah beberapa kali terjatuh ketika dalam perjalanan.

“Tapi ramai pengikut di TikTok yang baik hati dan bantu beri sumbangan duit juga sokong perniagaan saya hingga dapat beli motosikal.

“Saya hargai sangat dan sekarang hanya fikir nak cari duit untuk menyara diri dan ayah kerana kami hanya tinggal berdua di rumah memandangkan ibu sudah meninggal dunia manakala adik-beradik lain pula tinggal berasingan,” katanya yang menjual pewangi dengan harga serendah RM7.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top