Nik Zawawi dalam perhatian polis, siasatan masih berjalan -IGP

Nik Zawawi dalam perhatian polis, siasatan masih berjalan -IGP

Polis kini sedang menunggu maklumat lanjut bagi melengkapkan siasatan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Polis ambil maklum isu ini

Memetik laporan daripada Bernama, Ketua Polis Negara, dato’ Seri Mohd Khalid Ismail menyatakan pihaknya mengambil maklum mengenai isu tersebut dan ia kini dalam perhatian polis untuk tindakan lanjut.

“Perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan kita. Sebarang maklumat (isu tersebut) kita masih menunggu daripada pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa NGO turut buat laporan polis

Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi didakwa mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan ceramah politik di Terengganu.

Susulan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Daie MADANI tampil membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap Ahli Parlimen PAS berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Nik Muhammad Zawawi hari ini turut memohon maaf dan mengakui dirinya kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika program tersebut berlangsung.

Scroll to Top