Putrajaya: Datuk Seri Abd Halim Aman akan memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kepimpinannya bertindak dengan ketegasan lebih mutlak, keadilan saksama dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu berkata, bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap agensi berkenaan, pihaknya akan memperhebat aspek penguatkuasaan, mempertingkat ketelusan dan memastikan setiap siasatan dilaksanakan pada tahap profesionalisme tertinggi dengan keadilan menyeluruh.
“Pada masa sama, SPRM akan memastikan langkah pencegahan terus diperkasa, perlindungan terhadap pemberi maklumat akan diperkukuh selain kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan akan dipertingkat demi menyemai budaya integriti dalam negara.
“Pemulihan keyakinan masyarakat ini bukan satu pilihan tetapi merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh ditangguhkan bagi memastikan SPRM kekal teguh, telus dan bertanggungjawab berpaksikan sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau dilantik bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2026 hingga 12 Mei 2028.
Abd Halim turut menegaskan bahawa rasuah dalam apa juga bentuk sama sekali tidak boleh diterima dan merupakan pengkhianatan terbesar terhadap rakyat serta ancaman parah kepada masa depan negara.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit dan bersatu menolak rasuah kerana ia adalah tanggungjawab bersama.
“Dengan tekad dan kesatuan, kita mampu membina sebuah negara yang teguh berteraskan integriti, keadilan dan kepercayaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Dengan berbekalkan pengalaman dalam institusi kehakiman, saya akan membawa bersama landasan berteraskan kedaulatan undang-undang yang utuh dengan iltizam tidak akan sama sekali menggugat proses keadilan dalam apa jua keadaan.
“Berbekal dengan pengalaman ini juga, saya berharap dapat memacu pembentukan SPRM yang lebih tegas, berwibawa serta bebas sepenuhnya sekali gus memastikan suruhanjaya ini dapat bertindak tanpa gentar dan pilih kasih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




