am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah sehingga terdapat jaminan tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS di negeri berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri mendapati terdapat elemen penghakisan kuasa serta hak keistimewaan imigresen Sabah menerusi aspek perundangan dan pengoperasian imigresen di bawah pelaksanaan agensi terbabit.
“Pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, sedangkan pihak berkuasa negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas AKPS.
“Kuasa kerajaan negeri hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860],” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran serta kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Sabah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana termaktub dalam pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan negeri mahu memastikan tidak berlaku sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah dan pihak berkuasa negeri.
“Langkah ini penting bagi menjamin perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan mengenai negeri Sabah sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




