am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap rakan senegaranya sehingga mangsa mengalami lumpuh separuh badan sebelah kanan dalam kejadian minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Rofik Syukur Mohd, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dan fakta kes terhadapnya dibacakan dalam bahasa Myanmar di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Shaiful Islam, 42, dengan menggunakan sebatang kayu penggali tanah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi berhampiran IKS Pala Bukit Tengah, dalam daerah Seberang Perai Tengah pada jam 8.55 pagi, 4 Mei lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan bakal dihukum penjara sehingga 20 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Nadhirah memohon satu tarikh untuk laporan perubatan mangsa yang lengkap sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman tertuduh.
Menurutnya, ketika ini hanya terdapat laporan pemeriksaan awal yang menyatakan mangsa mengalami lumpuh separuh badan dan patah tulang tengkorak.
Hakim kemudian menetapkan 22 Jun depan untuk meneliti laporan perubatan dan jatuh hukum terhadap tertuduh, selain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin pada ketika ini.
Terdahulu, media melaporkan kejadian antara tertuduh dan mangsa berpunca akibat perselisihan berkaitan hutang makan semasa mereka tinggal bersama sebagai rakan serumah.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka koyakan di kepala, lumpuh separuh badan, pendarahan otak serta retakan tengkorak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




