Empat warga China cuba rempuh SJR ditahan, polis rampas peralatan pecah rumah

Empat warga China cuba rempuh SJR ditahan, polis rampas peralatan pecah rumah

am@hmetro.com.my

Kangar: Tindakan empat lelaki warga China memecut laju kenderaan dan cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) mengundang padah apabila mereka berjaya ditahan di Kampung Wai, Kuala Perlis, semalam.

Penahanan semua suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah itu turut membongkar penemuan pelbagai peralatan termasuk alat penyamaran menggunakan rambut palsu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, tangkapan pada jam 4.30 petang itu dilakukan susulan maklumat awam mengenai kenderaan jenis Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di Taman Sentosa, Kuala Perlis.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis yang tiba di lokasi menghampiri kenderaan berkenaan sambil memperkenalkan diri serta mempamerkan kad kuasa.

“Bagaimanapun, kenderaan terbabit secara tiba-tiba bertindak memecut laju bagi melarikan diri, namun dapat diekori pihak polis.

“Suspek kemudiannya cuba merempuh sekatan di SJR Kampung Wai, namun kenderaan itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota bertugas di laluan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yusharifuddin berkata, ketika anggota polis sekali lagi mengarahkan suspek membuka pintu, empat lelaki terbabit enggan memberikan kerjasama.

“Suspek secara tiba-tiba bertindak mengundurkan kenderaan dan hampir melanggar anggota polis, memaksa pasukan bertindak memecahkan cermin belakang serta cermin penumpang hadapan untuk membuka pintu.

“Semua suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan semasa proses tangkapan, namun mereka akhirnya berjaya diberkas dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis,” katanya.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Antara barangan yang dirampas termasuklah empat batang besi, sepana boleh laras, alat pemotong, pemutar skru dan satu alat berbentuk ‘T’ yang diubah suai dipercayai bertindak sebagai ‘master key’.

“Polis turut merampas dua rambut palsu, empat topeng muka, sarung tangan, dua set ‘walkie-talkie’, lampu suluh, telefon bimbit, wang tunai, pasport serta kenderaan Toyota Innova berkenaan yang didapati disewa di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek yang berusia antara 45 hingga 52 tahun itu masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu sebagai pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini.

“Semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing adalah negatif.

“Keempat-empat suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 18 Mei depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top