Tindakan prihatin Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencuri perhatian apabila baginda berkenan mengiringi seorang anggota rombongan yang mengalami kecederaan kaki untuk mendapatkan rawatan segera di Klinik Kesihatan Kundasang, semalam.
Menurut Setiausaha Sulit baginda, Amir Syaffiq Hamzah, anggota rombongan berkenaan telah diterbangkan menggunakan helikopter dari Panalaban di Gunung Kinabalu ke klinik berkenaan sekitar jam 3 petang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, mengikut perancangan asal, Tengku Hassanal dijadualkan turun ke Pondok Timpohon selepas berjaya menawan puncak gunung pada jam 9.30 pagi.
“Bagaimanapun, keadaan seorang daripada anggota rombongan yang mengalami kecederaan memerlukan rawatan segera sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Kundasang,” katanya kepada Bernama.

Amir Syaffiq berkata, Tengku Hassanal pada awalnya bersemangat untuk meneruskan perjalanan turun ke Pondok Timpohon, namun baginda memilih untuk bersama pasukannya serta turut menaiki ambulans ke klinik tersebut dan menunggu sehingga rawatan selesai.
Tambah beliau, anggota yang cedera itu telah menerima rawatan daripada pegawai perubatan dan berada dalam keadaan baik.

Artikel lain: Semangat luar biasa! Tengku Hassanal berjaya tawan puncak Gunung Kinabalu
Dalam masa sama, Tengku Hassanal turut menzahirkan penghargaan kepada petugas kesihatan atas perkhidmatan pantas dan profesional yang diberikan di Klinik Kesihatan Kundasang.
Terdahulu, baginda yang mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada jam 8.45 pagi selepas tiba di Panalaban pada petang sebelumnya, sebelum dijadualkan berangkat pulang hari ini selepas menamatkan ekspedisi tiga hari tersebut.
Sumber: BERNAMA, Threads armyrang.7




