Lelaki terbabit kemalangan hingga suami isteri maut akan dituduh esok

Lelaki terbabit kemalangan hingga suami isteri maut akan dituduh esok

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki yang terbabit kemalangan maut dengan sebuah motosikal hingga mengakibatkan suami isteri maut di Jalan Ampang, di sini, pada 2 Mei lalu akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 24 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pada 9 pagi.

“Lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan dua pertuduhan kerana menyebabkan kematian kepada dua mangsa masing-masing seorang lelaki dan wanita dalam kemalangan pada jam 5.30 pagi itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern, di sini.

Dalam kejadian itu, penunggang motosikal berusia 61 tahun dan isteri berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan, lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

Akibat pelanggaran itu, pasangan terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan dua penumpang lelaki berusia 23 dan 24 tahun cedera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top