Putrajaya: Peruntukan awal RM100,000 disalurkan segera bagi kerja pembersihan dan pemulihan susulan kebakaran stor dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) semalam.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya dalam kenyataan semalam, memaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan perkara itu selepas meninjau lokasi kejadian.
“Peruntukan itu turut melibatkan kerja awalan seperti penyambungan semula bekalan utiliti yang terjejas akibat kebakaran, pembaikan kecil di kawasan kebakaran dan bangunan berhampiran serta kerja berkaitan lain,” menurut kenyataan itu tadi.
JPWP Putrajaya memaklumkan tindakan segera menutup kawasan terjejas serta kawasan berhampiran diambil bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah.
JPWP Putrajaya memaklumkan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Semalam, bomba mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang berhubung kebakaran melibatkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas dewan itu.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana sesi persekolahan telah tamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




