puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas sekian lama tidak berjumpa, pelakon Nazeera Sardi membuat kejutan terhadap rakan seperjuangannya iaitu, Azar Azmi sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Menerusi hantaran video di Tiktok, Nazeera atau pemilik nama Siti Nazirah Sardi, 39, berkata, hubungan akrab mereka mula terjalin sejak pertama kali digandingkan dalam drama Cinta Fatamorgana, sebelum dipertemukan semula dalam naskhah Janda Cosmopolitan.
“Kali pertama kita penggambaran bersama adalah untuk Cinta Fatamorgana dan kemudian dalam Janda Cosmopolitan. Aku shooting (ada penggambaran) tapi still (masih) singgah masa hari penting kau,” tulisnya.
Bercerita lanjut mengenai memori terakhir mereka, Nazeera mendedahkan kali terakhir mereka menghabiskan masa bersama adalah ketika menghadiri sebuah acara di Sabah.
“Kali terakhir kita ada acara di Sabah, kita lepak di bilik kau sampai pagi. Kali terakhir kita menyanyi atas pentas sama-sama masa acara itu berlangsung. Kali terakhir kita rancang nak pergi percuti sekejap sebelum kau hilang.
“Ya, aku jumpa kau lambat selepas kau selesai dan berjumpa dengan yang lebih penting. Aku sentiasa doakan kau dari jauh. Jalan terus Za (Azar),” tulisnya lagi.
Dalam hantaran itu, dilihat Azar dan Nazeera saling berpelukan erat dan kelihatan gembira apabila dapat berjumpa semula.
Menjengah ke dalam ruangan komen, rata-rata netizen terharu melihat hantaran itu sekaligus memuji perwatakan Azar yang baik sehingga dikelilingi rakan-rakan artis yang prihatin terhadap dirinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




