KETIKA dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global, usahawan tempatan diingatkan supaya tidak mengambil pendekatan ‘menghilangkan diri’ daripada pasaran sebaliknya perlu terus kekal relevan dan dilihat pengguna.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, landskap ekonomi dunia kini berubah terlalu pantas susulan tekanan inflasi, konflik geopolitik serta perkembangan teknologi yang semakin agresif.
Menurut beliau, situasi itu menuntut pemain industri dan usahawan supaya lebih bersedia daripada pelbagai sudut termasuk operasi, pemasaran, pengurusan risiko serta aspek perundangan.
“Dunia perniagaan hari ini sangat mencabar. Apa yang berlaku di satu negara boleh memberi kesan kepada negara lain dalam tempoh singkat.
“Sebab itu hubungan strategik antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti antarabangsa amat penting untuk memastikan ekonomi terus berkembang secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Seven Mega Growth Strategies 2026 yang menghimpunkan tokoh korporat, usahawan, pemain industri serta wakil diplomatik bagi membincangkan strategi memperkukuh daya tahan perniagaan dalam suasana ekonomi tidak menentu.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, antara kesilapan besar syarikat ketika ekonomi perlahan ialah mengurangkan keterlihatan jenama termasuk memotong bajet pemasaran dan promosi.
Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan sesebuah jenama hilang kepercayaan pengguna serta tenggelam dalam persaingan pasaran.
“Ramai fikir bila ekonomi susah, perkara pertama perlu dikurangkan ialah pemasaran. Hakikatnya, syarikat bukan jatuh sebab terlalu banyak promosi, tetapi sebab mereka berhenti dilihat.
“Jenama yang terus muncul di mata pengguna akan terus dipercayai dan kekal menjadi pilihan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan KNKV, Datuk Seri Dr Zurainah Musa berkata, ketidaktentuan ekonomi global tidak seharusnya melemahkan semangat usahawan untuk terus berkembang.
Ujarnya, kekuatan jaringan strategik dan hubungan perniagaan menjadi antara faktor penting yang mampu membantu syarikat bertahan dalam situasi mencabar.
“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, networking menjadi talian hayat kepada usahawan.
“Melalui jaringan yang betul, lebih banyak peluang boleh dibuka termasuk kerjasama rentas negara dan akses ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, program tersebut turut menjadi platform menghubungkan syarikat tempatan dengan wakil diplomatik dan duta luar negara bagi membantu usahawan memperluaskan pasaran ke peringkat global.
Seven Mega Growth Strategies 2026 menghimpunkan pelbagai pemain industri dalam usaha memperkukuh kerjasama perdagangan, pelaburan dan pembangunan usahawan agar lebih kompetitif di pentas antarabangsa.



