MAKKAH – Menjelang kemuncak ibadah haji di Arafah, semangat petugas Tabung Haji (TH) dan rombongan perubatan Malaysia di Tanah Suci semakin membara meskipun berdepan jadual padat serta cabaran operasi yang semakin mencabar.
Bagi mereka, amanah menjaga kebajikan dhuyufurrahman bukan sekadar tugas, sebaliknya satu pengorbanan besar yang digalas seperti menjaga ibu bapa dan keluarga sendiri sepanjang musim haji berlangsung.
Penolong Pengurusan Maktab 64, Siti Fazlina Abdul Hamid berkata, komitmen petugas TH pada musim haji tahun ini berada pada tahap terbaik terutama ketika menghampiri kemuncak ibadah wukuf tidak lama lagi.
Menurut beliau, semua petugas bersedia menggalas amanah besar yang diberikan keluarga jemaah kepada TH bagi memastikan kebajikan dhuyufurrahman sentiasa terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.
“Komitmen kami sebagai petugas TH sangat besar tahun ini. Semua petugas begitu bersemangat untuk menyantuni dhuyufurrahman, lebih-lebih lagi apabila kita semakin menghampiri kemuncak haji iaitu wukuf.
“Insya-ALLAH, kami bersama-sama menggalas tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh ibu bapa dan keluarga jemaah kepada TH untuk menjaga kebajikan mereka sepanjang musim haji ini,” katanya.
Beliau yang pertama kali bertugas bersama TH di Tanah Suci menyifatkan pengalaman itu cukup berharga, terutama apabila diberi peluang menyantuni jemaah di Maktab 64.
Katanya, antara cabaran utama ialah pengurusan masa berikutan jadual tugas yang padat termasuk menguruskan pergerakan jemaah untuk menunaikan umrah seawal waktu subuh.
“Saya berharap agar segala urusan musim haji tahun ini dipermudahkan dan semua jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna serta pulang dengan haji yang mabrur,” katanya.
Ukhuwah jadi kekuatan operasi haji
Timbalan Pengarah Operasi 1 Perubatan, Mohd Izzat Idris berkata, semangat ukhuwah antara petugas perubatan dan kebajikan di Tanah Suci menjadi kekuatan utama dalam menghadapi operasi haji tahun ini.
“Di sini, kami ibarat sebuah keluarga kecil yang menggantikan keluarga kami di Malaysia. Semoga kami semua dipermudahkan untuk menyelesaikan operasi wukuf di Arafah, Muzdalifah dan Mina serta terus menyantuni semua dhuyufurrahman,” katanya.
Menurut beliau, operasi perubatan haji tahun ini memberi pengalaman berbeza susulan perubahan prosedur perkhidmatan kesihatan yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.
Katanya, jika sebelum ini rombongan perubatan dibenarkan membuka hospital sendiri, tahun ini mereka perlu membawa jemaah mendapatkan rawatan di hospital Arab Saudi.
“Walaupun berdepan perubahan tersebut, kami tetap berjaya menyantuni jemaah dengan membawa mereka mendapatkan rawatan di hospital Arab Saudi sebelum dihantar semula ke bangunan penginapan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya menjaga tenaga dan kesihatan menjelang operasi Masyair.
“Pesanan kami kepada jemaah terutama dari sudut perubatan ialah supaya menyimpan tenaga sebelum bergerak ke Arafah kerana banyak tenaga akan digunakan sepanjang operasi Masyair nanti.
“Pada masa sama, rombongan perubatan juga akan menyerahkan kit ubat Masyair yang mengandungi ubat demam dan minuman rehidrasi oral (ORS) kepada setiap jemaah bagi membantu mereka mengekalkan tenaga,” katanya.
Mengulas mengenai amanat yang diberikan kepada petugas haji, beliau berkata, semua jemaah Malaysia dianggap seperti ahli keluarga sendiri yang perlu dijaga dengan penuh amanah dan ihsan.
“Amanat daripada pihak pengurusan ialah semua jemaah haji Malaysia perlu dianggap seperti ibu bapa kami sendiri.
“Justeru, kami rombongan perubatan akan menyahut amanah itu dengan menjaga mereka seperti keluarga sendiri bermula dari saat tiba di Tanah Suci, sepanjang berada di Arafah dan Mina sehinggalah mereka selamat pulang ke Malaysia,” katanya.
Terus cari jalan bantu jemaah
Pakar Perubatan, Dr Mohammad Ihab Ismail berkata, rombongan perubatan haji musim 1447H hadir dengan semangat dan tekad tinggi untuk terus menyantuni dhuyufurrahman di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, tahun ini kami bersama rombongan perubatan hadir dengan semangat yang cukup besar untuk terus menyantuni dhuyufurrahman.
“Walaupun ada cabaran yang kadang-kadang cukup menggugat, kami percaya dalam kesatuan itu ada barakah dan ALLAH SWT akan sentiasa menunjukkan jalan kepada kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya.
“Selagi ada ruang dan peluang, kami akan terus mencari jalan untuk menyantuni dhuyufurrahman,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada bakal jemaah haji supaya menjaga kesihatan dan kekuatan fizikal sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kepada para dhuyufurrahman, nikmatilah manasik haji ini kerana ia merupakan ibadah yang tiada bandingannya. Insya-ALLAH, ALLAH SWT akan mempermudahkan perjalanan untuk memperoleh haji yang mabrur,” katanya.



