Newtown Square, Amerika Syarikat: Pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Scottie Scheffler mencatat tiga bawah par 67 untuk berkongsi pendahuluan selepas pusingan pembukaan Kejuaraan PGA pagi tadi.
Pemain Afrika Selatan, Aldrich Potgieter, Min Woo Lee dari Australia, pemain Amerika Syarikat (AS), Alex Smalley, Ryo Hisatsune dari Jepun serta dua pemain Jerman, Stephan Jaeger dan Martin Kaymer turut mencatat 67 di Aronimink.
Scheffler yang juga juara major empat kali melakukan lima birdie dan dua bogey, sekali gus mendahului carta selepas 18 lubang buat kali pertama dalam kejohanan major.
“Tetapi adakah ia benar-benar pendahuluan jika anda berkongsi dengan enam atau tujuh pemain?” kata pemain AS itu.
“Lapangan golf ini amat mencabar.
“Saya melakukan tugas yang baik dari sudut mental di padang yang sukar pada beberapa ketika.”
Scheffler melakukan putt birdie sejauh 38 kaki di lubang ketujuh, 28 kaki di lubang ke-10 dan hampir sembilan kaki di lubang ke-11 untuk berkongsi pendahuluan sebelum melakukan bogey tiga putt di lubang ke-14 dengan birdie empat kaki di lubang ke-16.
Juara Masters dan pemain nombor dua dunia Rory McIlroy pula kecewa selepas mencatat 74 pukulan, tiada masalah dengan kaki kanannya yang melecet tetapi bergelut dengan pukulan permainannya.
McIlroy yang bermula di sembilan lubang terakhir menamatkan pusingan dengan empat bogey berturut-turut dan lima bogey dalam enam lubang terakhir.
“Saya tidak memukul bola dengan cukup baik dari tee,” kata McIlroy.
“Ia memang menjadi masalah sepanjang tahun ini.
“Ia agak mengecewakan terutama kerana saya bangga dengan kemampuan pukulan tee saya.”
Sekumpulan pemain yang tidak dijangka berjaya mengatasi green beralun Aronimink, termasuk Hisatsune yang berusia 23 tahun dan melakukan tujuh birdie, dengan empat daripadanya hadir selepas bogey dalam penampilan major kelimanya.
“Saya amat bernasib baik, terutama dengan banyak birdie dan kebangkitan semula,” kata Hisatsune. “Saya terlalu gembira.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




